AM

Program NILAM Diperluas Di Penjara Seluruh Negara Dalam Dua Tahun - YADIM

10/09/2025 04:28 PM

GEORGE TOWN, 10 Sept (Bernama) --Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) menyasarkan program Nadi Ilmu Amalan Membaca (NILAM) dilaksanakan di kesemua 42 penjara seluruh negara dalam tempoh dua tahun bagi memperkasakan amalan membaca dalam kalangan penghuni penjara. 

Timbalan Yang Dipertua YADIM Prof Dr Adi Anuar Azmin berkata projek yayasan itu turut mendapat kerjasama Jabatan Penjara Malaysia dan ketika ini lima penjara sedang menjalankan program tersebut.

"Projek perintis kini sedang dilaksanakan di Penjara Pulau Pinang sebagai penjara pertama dipilih kerana statusnya institusi paling lama di Malaysia dan seterusnya dijalankan di Penjara Seberang Perai, dekat sini serta Penjara Pokok Sena dan Penjara Sungai Petani di Kedah serta Penjara Johor Bahru di Johor.

"Program NILAM adalah satu inisiatif masyarakat MADANI dan membawa mesej penting kepada prospek supaya mendekatkan diri dengan amalan membaca, menulis sinopsis serta menghayati nilai murni melalui bahan bacaan yang disediakan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sambutan Maulidur Rasul dan Perasmian Progeam NILAM Peringkat Prospek Penjara Pulau Pinang di penjara tersebut hari ini yang turut dihadiri Pengarah Penjara Pulau Pinang Zool Fadli Ismail.

Adi Anuar berkata setakat ini, YADIM telah menyalurkan kira-kira 1,500 naskhah buku di Penjara Pulau Pinang dengan kerjasama pegawai dan kakitangan penjara yang turut menyumbang bahan bacaan selain akan diperluas ke penjara lain dengan nisbah tiga kali ganda jumlah buku berbanding bilangan penghuni bagi memastikan akses bacaan mencukupi.

Beliau berkata program NILAM itu merupakan cadangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selaras dengan konsep MADANI yang menekankan kepada konsep membaca, membentuk nilai murni yang baik dan juga akhlak yang mulia.

Katanya YADIM mengadakan lawatan ke penjara setiap bulan untuk menyantuni penghuni dan maklum balas yang diterima menunjukkan kesan positif apabila ramai mula membaca buku-buku yang disediakan dan seterusnya menulis termasuk menghasilkan karya berbentuk novel dan travelog berdasarkan pengalaman hidup mereka.

Sementara itu, Zool Fadli berkata pihaknya turut memberikan peluang kepada kakitangan penjara, keluarga prospek atau orang ramai untuk menyumbang buku yang boleh diwakafkan demi manfaat penghuni Penjara Pulau Pinang.

Beliau berkata semua penghuni terlibat akan membaca buku yang disediakan, menyiapkan sinopsis dan membuat pembentangan ringkas kepada rakan-rakan prospek lain serta jawatankuasa penilai untuk dinilai.

“Pada akhir program, penilaian akan dibuat berdasarkan kefahaman dan penghayatan terhadap bahan bacaan, prospek terbaik akan menerima penghargaan dan imbuhan daripada pihak YADIM sebagai galakan.

"Alhamdulillah, setakat ini kalau pendekatan Penjara Pulau Pinang kami letak buku blok-blok penginapan penghuni, jadi setiap penghuni senang untuk dapatkan buku dan boleh baca dekat bilik dia atau ruang-ruang legar blok penempatan mereka," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan