SHAH ALAM, 10 Sept (Bernama) -- Pihak pendakwaan hari ini menyerahkan dokumen berkaitan kepada pihak pembelaan dalam kes seorang anggota polis yang didakwa membunuh lepasan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Nur Farah Kartini Abdullah, tahun lepas.
Peguam Aida Jaafar Mad Ariff yang mewakili tertuduh Lans Koperal Muhammad Alif Monjani, 27, berkata dokumen itu akan diteliti terlebih dahulu kerana turut membabitkan barangan kes ketika kejadian.
“Mahkamah menetapkan 28 Okt ini untuk sebutan semula kes. Pada tarikh itu pihak pembelaan akan memaklumkan sama ada mahu mengemukakan representasi atau tidak," katanya selepas pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Nadia Othman hari ini.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Maizatul Munirah Abdul Rahman.
Menurut pertuduhan, Muhammad Alif didakwa menyebabkan kematian Nur Farah Kartini, 26, di Ladang SKC, Kledang, Mukim Hulu Bernam antara pukul 9 pagi, 10 Julai hingga 6 petang, 15 Julai 2024.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara maksimum 40 tahun serta sebatan tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.
Nur Farah Kartini dilaporkan hilang sejak 10 Julai 2024, selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan.
Lima hari kemudian mayatnya ditemui polis di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor.
Susulan itu, seorang lelaki berusia 26 tahun yang bertugas di Perak telah ditahan dan direman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial