KUALA LUMPUR, 9 Sept (Bernama) -- Bina Puri Holdings Bhd menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan pengeluar peralatan isi rumah Korea Selatan, Hanil Electric Co Ltd, termasuk potensi membangunkan kilang pembuatan Hanil bernilai US$50 juta (RM220 juta) di Sarawak.
Dalam satu kenyataan bersama hari ini, kedua-dua pihak berkata kerjasama itu berpotensi menyaksikan Bina Puri dilantik sebagai kontraktor kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) untuk kilang berkenaan.
“Di bawah MoU ini, Hanil ketika sepanjang fasa perancangan dan pembangunan kilang pembuatannya akan memaklumkan Bina Puri mengenai perkembangan bahan yang berkaitan dan memberi keutamaan kepada Bina Puri berbanding pihak ketiga yang lain untuk menyertai proses tender dan rundingan EPCC.
“Bina Puri juga akan dilantik sebagai wakil eksklusif Hanil untuk promosi, pengedaran dan pembangunan pasaran produk Hanil di Malaysia sambil meneroka pengembangannya ke pasaran lain di Asia Tenggara,” katanya.
Kenyataan itu berkata Bina Puri akan secara aktif mempertimbangkan untuk menggabungkan teknologi dan produk Hanil ke dalam projek-projek sedia ada dan akan datang bagi meningkatkan kecekapan, kemampanan dan pematuhan terhadap piawaian bangunan moden.
Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Bina Puri Marcus Goh Kee Lun berkata kerjasama itu menandakan inisiatif utama pertama kumpulan sejak pasukan pengurusan baharu dilantik pada April tahun ini.
“Kami amat berbesar hati dipilih oleh Hanil sebagai ejen eksklusif mereka di Malaysia untuk produk-produk premium dan berkualiti mereka, selain daripada potensi peranan sebagai kontraktor EPCC untuk kilang pembuatan mereka pada masa hadapan.
“Kami sedang mempersiapkan diri untuk merebut peluang-peluang baharu dan secara aktif menyertai tender bagi projek-projek di seluruh Sarawak dan Malaysia. Kami yakin untuk berjaya memulihkan kesihatan kewangan kumpulan dan seterusnya meningkatkan nilai pemegang saham,” katanya.
Sementara itu, CEO Hanil Kang Jae Sung berkata kerjasama ini bukan sahaja akan mengukuhkan kehadiran syarikat di pasaran Malaysia tetapi juga membuka peluang baharu di seluruh rantau ini.
“Kami teruja untuk bekerjasama dengan Bina Puri, syarikat pemain terkemuka dalam sektor hartanah, pembinaan dan pelbagai industri lain, ketika kami mengembangkan jejak kami di Asia Tenggara,” katanya.
Bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun, 2025 (TK2025), Bina Puri mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM2.65 juta, kembali mencatatkan keuntungan daripada kerugian RM15 juta setahun sebelumnya, manakala hasil meningkat 66 peratus tahun ke tahun kepada RM278.8 juta.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial