KUALA LUMPUR, 9 Sept (Bernama) -- Pekerja migran adalah nadi kepada ekonomi ASEAN yang menyumbang kepada pertumbuhan dan pembangunan rantau ini, kata Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) Datuk Azman Mohd Yusof.
Dengan anggaran tujuh juta migran dalam kalangan negara ASEAN, sumbangan mereka menjana pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan pembangunan sosial di seluruh rantau ini, sekali gus membentuk masa depan yang makmur dan mampan kepada semua.
“Pekerja migran adalah nadi kepada ekonomi kita, menyumbang besar kepada pertumbuhan dan pembangunan kedua-dua negara tuan rumah dan negara asal mereka,” katanya ketika merasmikan Forum ASEAN mengenai Pekerja Migran (AFML) ke-18 di sini hari ini.
Forum dua hari bermula hari ini itu, membawa tema “Mempercepatkan Tindakan ke Arah Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) mengenai Migrasi Selamat dan Pekerjaan Layak untuk Pekerja Migran di ASEAN”.
Azman mengakui bahawa di sebalik sumbangan besar itu, banyak pekerja migran terus berdepan cabaran seperti buruh paksa, keadaan kerja yang tidak menentu, eksploitasi oleh ejen tidak bertanggungjawab dan kos pengambilan serta penghantaran yang tinggi.
“Situasi itu memerlukan komitmen segera dan dipertingkatkan bagi memperluaskan akses kepada pekerjaan yang bersesuaian serta dapat melindungi hak semua pekerja migran,” katanya.
Beliau berkata Malaysia telah mengambil langkah memperkukuh perlindungan kepada pekerja asing termasuk meluaskan skim keilatan di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada pekerja asing.
“Langkah ini membuktikan komitmen Malaysia untuk memelihara hak dan kebajikan pekerja migran, sekali gus menunjukkan tekad kita mewujudkan pasaran buruh yang adil dan inklusif untuk semua,” katanya.
AFML berfungsi sebagai platform penting untuk negara anggota ASEAN, organisasi majikan dan pekerja, kumpulan orang awam dan rakan antarabangsa membincangkan strategi dalam meningkatkan hak pekerja migran.
Perbincangan tahun ini memberi tumpuan kepada dua tema iaitu mewujudkan persekitaran selamat dan terjamin bebas daripada buruh paksa serta mengurangkan kos pengambilan dan penghantaran.
Forum dianjurkan oleh Malaysia selaku Pengerusi ASEAN, melalui KESUMA dengan kerjasama Sekretariat ASEAN, Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), Pertubuhan Migrasi Antarabangsa (IOM), UN Women, dan Pasukan Tugas Pekerja Migran ASEAN (TFAMW), serta sokongan daripada rakan penderma Australia, Kanada dan Switzerland.
Forum tersebut merupakan sebahagian daripada Pelan Tindakan ACMW (2018-2025), yang bertujuan melaksanakan Deklarasi ASEAN mengenai Perlindungan dan Penggalakkan Hak Pekerja Migran (Deklarasi Cebu) serta Konsensus ASEAN mengenai Perlindungan dan Penggalakkan Hak Pekerja Migran.
Cadangan daripada Forum AFML ke-18 akan menjadi input kepada Jawatankuasa ASEAN bagi Pekerja Migran (ACMW) dan membentuk pelan tindakan serantau yang akan dibentangkan pada Mesyuarat Menteri Buruh ASEAN yang akan datang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial