AM

Jenayah Dalam Talian Antara Tumpuan Mesyuarat Pegawai Kanan AMMTC Hari Ini

09/09/2025 03:16 PM

MELAKA, 9 Sept (Bernama) -- Jenayah dalam talian antara isu utama yang dibincangkan pada Mesyuarat Persediaan Pegawai-Pegawai Kanan ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan (SOMTC) yang berlangsung hari ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Awang Alik Jeman berkata hasil perbincangan berkaitan jenayah dalam talian yang semakin membimbangkan itu akan dibawa ke peringkat Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC), esok.

“Ada banyak bentuk jenayah yang sedang kita hadapi ketika ini, khususnya penipuan dalam talian.

“Buat masa ini, fokus utama diberikan kepada penipuan dalam talian serta kegiatan penyeludupan manusia masuk dan keluar dari Malaysia,” katanya kepada Bernama.

Mengulas lanjut, Awang Alik berkata AMMTC berperanan sebagai platform terbaik untuk menyelaras semua draf dan hala tuju membanteras jenayah rentas sempadan di rantau ini secara lebih strategik, tanpa terikat dengan isu teknikal.

“Dengan kata lain, Mesyuarat Persediaan SOMTC ialah persiapan terakhir untuk memastikan Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC) berjalan dengan lancar dan produktif,” katanya.

Beliau berkata SOMTC turut menumpukan kepada dua aspek utama, iaitu menutup serta menilai pelaksanaan kerangka lama, selain memuktamadkan Pelan Tindakan ASEAN dalam Memerangi Jenayah Rentas Sempadan 2026-2035 sebagai asas baharu yang akan memandu ASEAN untuk dekad akan datang.

Selain itu, mesyuarat juga membincangkan agenda bersama rakan luar seperti China dan Jepun melalui Persiapan SOMTC+3, yang meneliti persiapan Konsultasi AMMTC+3 ke-15 termasuk semakan agenda sementara, kenyataan bersama dan program aktiviti.

“Antara yang turut diberi perhatian ialah perkembangan draf Memorandum Persefahaman ASEAN-China mengenai Kerjasama Membanteras Jenayah Rentas Sempadan,” katanya.

Awang Alik berkata, selaku tuan rumah, Malaysia berharap SOMTC dapat memastikan AMMTC ke-19 menghasilkan dokumen yang kukuh serta keputusan yang konkrit.

AMMTC ke-19 dan mesyuarat berkaitan berlangsung bersempena Kepengerusian ASEAN 2025 yang bertemakan ”Keterangkuman dan Kemampanan"’ mencerminkan komitmen Malaysia untuk membina komuniti ASEAN yang lebih selamat dan makmur.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan