AM

Negara Anggota ASEAN Perlu Bersatu Jamin Keadilan Untuk Kanak-Kanak – Azalina

07/09/2025 10:12 PM

KOTA TINGGI, 7 Sept (Bernama) -- Negara anggota ASEAN perlu menghapuskan tembok yang menghalang kanak-kanak daripada mendapat akses kepada keadilan, dan bekerjasama untuk menjamin hak mereka melalui mekanisme bantuan guaman yang lebih kukuh, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.

Berucap merasmikan Konvensyen ASEAN mengenai Bantuan Guaman untuk Kanak-Kanak (ACLAC) 2025 di Pusat Persidangan Desaru Coast di sini hari ini, beliau berkata konvensyen itu bukan sekadar satu persidangan, tetapi juga satu komitmen untuk melindungi, memperkasakan dan memelihara maruah setiap kanak-kanak di rantau ini.

"Keadilan tidak boleh menjadi keistimewaan buat segelintir masyarakat, tetapi jaminan untuk semua, khususnya anak-anak kita. Terlalu banyak halangan di hadapan mereka – jarak, kos, kurang kesedaran. Justeru, bantuan guaman mesti menjadi jambatan yang memastikan tiada kanak-kanak yang terpinggir, tidak dilindungi atau tidak diwakili," katanya.

Dalam pada itu, Azalina berkata Malaysia telah mengambil langkah penting apabila Parlimen meluluskan Akta Bantuan Guaman dan Pembelaan Awam 2025 pada Ogos.

Undang-undang baharu itu katanya, memastikan semua kanak-kanak yang terlibat dengan jenayah mendapat pembelaan sewajarnya, meluaskan bantuan guaman kepada setiap kanak-kanak tanpa mengira kewarganegaraan, dan memperkenalkan perkhidmatan pembelaan awam di bawah Jabatan Bantuan Guaman buat kali pertama.

Azalina berkata walaupun negara ASEAN telah memperkenalkan langkah inovatif seperti klinik guaman bergerak, mahkamah juvana dan rangkaian peguam pro bono, masih wujud jurang dalam akses kanak-kanak kepada keadilan.

"Justeru, konvensyen ini penting untuk berkongsi amalan terbaik, memperkukuh kerjasama rentas sempadan, dan membina rangka kerja serantau untuk bantuan guaman mesra kanak-kanak. Marilah kita bergerak daripada dialog kepada tindakan – menetapkan piawaian ASEAN, melatih profesional guaman, mewujudkan ruang guaman yang selamat, dan meningkatkan literasi undang-undang dalam kalangan keluarga," katanya.

Konvensyen tiga hari hingga 9 Sept itu dianjurkan oleh Jabatan Bantuan Guaman, Jabatan Perdana Menteri, sebagai sebahagian daripada Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 di bawah tema "Keterangkuman dan Kemampanan".

Konvensyen yang bermula dari hari ini membincangkan mengenai bantuan guaman untuk kanak-kanak dalam kes sivil, jenayah dan syariah, perspektif antarabangsa dan nasional tentang isu perundangan berkaitan dengan kanak-kanak, serta strategi untuk memperluas akses kepada keadilan dan mengintegrasikan inisiatif bantuan guaman ASEAN dalam rangka kerja negara.

Sebanyak tujuh negara – Malaysia, Brunei, Filipina, Kemboja, Singapura, Vietnam dan Timor-Leste –menyertai konvensyen itu dengan 16 delegasi membentangkan kertas kerja berkenaan mekanisme, pengalaman dan idea berkaitan dengan bantuan guaman untuk kanak-kanak.

Delegasi Malaysia melibatkan agensi kerajaan dan bukan kerajaan, dengan perbincangan merangkumi kanak-kanak yang berdepan pertuduhan jenayah, menjadi mangsa jenayah, kanak-kanak sebagai saksi di mahkamah dan hal lain berkaitan dengan hak golongan itu.

Hasil utama konvensyen berkenaan dijangka termasuk langkah ketara untuk meningkatkan kerjasama serantau dan penetapan piawaian bersama untuk memperkukuh perlindungan terhadap kanak-kanak di seluruh negara anggota ASEAN.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan