KUALA LUMPUR, 6 Sept (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) melakar sejarah baharu apabila secara rasmi menerima kapal Ex-United States Coast Guard Cutter (USCGC) Steadfast di Wheaton O’Thorp Center (WOTC), Amerika Syarikat (AS) hari ini.
Ketua Pengarah APMM Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah dalam kenyataan hari ini menyifatkan penerimaan Ex-USCGC Steadfast sebagai simbolik kepada hubungan kerjasama erat Malaysia dan AS, khususnya antara APMM dan United States Coast Guard (USCG).
“Kapal ini akan memulakan pelayaran pertamanya dengan kru baharu yang bakal mencatat sejarah tersendiri sebagai pelayaran paling jauh dan paling lama dalam sejarah Maritim Malaysia iaitu dengan merentasi Lautan Atlantik, Mediterranean, Laut Merah, Terusan Suez dan Lautan Hindi.
“Aset baharu ini diharap akan meningkatkan keupayaan Maritim Malaysia dalam memastikan keselamatan zon maritim negara, selain memperluas ruang kerjasama antara Malaysia dan AS dalam aspek latihan, pertukaran teknikal serta pembangunan kapasiti,” katanya.
Terdahulu, Timbalan Ketua Pegawai Pemerolehan dan Pengarah Perkhidmatan Domain & Integrasi USCG James Knight menandatangani Sijil Pemilikan dan menyerahkan kapal Ex-USCGC Steadfast kepada Mohd Rosli serta disaksikan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Awang Alik Jeman.
Turut hadir, Duta Besar Malaysia ke AS Tan Sri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob, Pengarah Bahagian Risikan Maritim Laksamana Pertama Maritim Datuk Md Fauzi Othman dan Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Maritim Laksamana Pertama Maritim Shahref Steve Mac Queen Abdullah.
Menurut kenyataan sama, Knight dalam ucapan pada majlis itu berkata kapal yang diserahkan adalah kapal yang ditauliahkan pada 1968 dan telah berkhidmat dengan cemerlang selama 56 tahun.
Beliau berkata kehadiran kapal itu dalam armada APMM diharap mampu memperkukuh keselamatan maritim negara.
Sementara itu, sebanyak 50 kru terdiri daripada sembilan pegawai dan 41 anggota APMM menerima Sijil Tamat Latihan selepas berjaya menamatkan program intensif tujuh minggu bagi pengoperasian 210’ Reliance Class Medium Endurance Cutter (MEC).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial