AM

Pengorbanan Handler K9 JBPM, Wira Senyap Demi Bangsa Dan Negara

06/09/2025 03:49 PM

Oleh Samantha Tan Chiew Tieng

PUTRAJAYA, 6 Sept (Bernama) -- Di tangan seorang handler atau jurulatih anjing pengesan (K9) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), tergenggam seutas “tali pengikat merah” yang bukan sekadar kawalan tetapi simbol amanah, keberanian dan pengorbanan.

Ia menggambarkan ikatan erat antara manusia dan haiwan, yang bergabung sebagai satu pasukan demi khidmat kepada bangsa dan negara.

Di sebalik kelincahan serta kecomelan K9 yang sering mencuri tumpuan, berdiri susuk jurulatih sebagai sahabat, penjaga dan pelindung setia. Hubungan unik ini terjalin melalui rutin latihan, misi berbahaya dan pengorbanan masa bersama keluarga.

Ketua Pasukan Charlie K9 JBPM Pegawai Bomba Tinggi II (PBT II) M. Mohan, 54, berkata beliau sering mengingatkan jurulatih muda bahawa K9 bukanlah aset atau “barang pameran” semata-mata, tetapi ahli keluarga yang perlu dijaga kebajikan dan emosinya.

“Dalam sehari kadang-kadang ada dua hingga tiga operasi siasatan kebakaran, jadi handler mesti pandai mengurus masa rehat untuk anjing, kerana mereka bukan mesin. Fahami jiwa anjing, kerana mereka juga ada emosi...jika kita jaga mereka, Tuhan akan menjaga kita,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Mengimbau kenangan lebih sedekad lalu, anak kelahiran Pahang itu berkata rakan berkaki empat pertamanya Labrador bernama Louis, banyak membantu siasatan kebakaran termasuk kes berprofil tinggi di Kuala Lumpur dan Shah Alam.

Antaranya operasi di sebuah bangunan 44 tingkat yang masih dalam pembinaan di ibu negara, serta kebakaran empat buah kilang di Shah Alam yang dijilat api dengan suhu mencecah lebih 1,000 darjah Celsius.

 “Walaupun lokasi musnah, Louis tetap beri indikasi tepat terhadap punca kebakaran. Seekor anjing pengesan yang hebat!”, katanya sambil berkata kenangan bersama yang sukar dilupakan ialah kemampuan Louis menggigit dua biji bola tenis serentak sebagai ganjaran.

Namun memori itu kini hanya tinggal kenangan, apabila Louis telah pergi akibat masalah kesihatan.

Mohan mengakui tugas sebagai jurulatih menuntut pengorbanan besar, kerana operasi kadang-kala memakan masa seminggu dan beliau terpaksa berjauhan dengan anak serta isteri.

Bagi Pegawai Bomba Kanan II (PBK II) Anthony Anak Phillip, 32, pengalaman paling pahit sepanjang tujuh tahun berkhidmat ialah pemergian K9 Labrador bernama Razor, yang pakar dalam mengesan orang hilang.

“Saya telah bersamanya hampir lapan tahun dan antara kenangan manis ialah ketika berjaya mengesan seorang warga emas hilang di Kelantan pada 2020. Mangsa ditemukan hidup dan itu detik paling bermakna buat saya.

“Kalau kita stres atau marah, prestasi mereka pun terjejas. Sebab itu kita kena kawal emosi di depan mereka,” katanya, sambil menambah tugasan ini menuntut pengorbanan peribadi.

Pernah suatu ketika anaknya dimasukkan ke wad, namun beliau terpaksa juga bertugas kerana tiada jurulatih lain yang boleh menggantikan.

Sementara itu, PBK II Tony Anak Albert Mani, 31, berkata ikatannya dengan K9 Denti, juga Labrador, sudah lapan tahun terjalin. Mereka menempuh pelbagai operasi termasuk tragedi tanah runtuh di Batang Kali pada 2022 dan gempa bumi di Turkiye pada 2023.

“Di Turkiye cabarannya besar, kerana cuaca sejuk negatif tujuh hingga lapan darjah...Denti tidak biasa dengan cuaca begitu, jadi saya perlu pantau dia sepanjang masa, sediakan selimut dan air suam. Dia bukan sekadar anjing, tapi buddy saya. Kami saling melengkapi.

“Walaupun sibuk, luangkan sekurang-kurangnya 30 minit untuk bermain atau melatih. Itu resipi utama,” katanya dan menambah pengorbanan masa peribadi telah menjadi lumrah.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan