BALING, 5 Sept (Bernama) -- Program MADANI Rakyat (PMR) bukan sahaja menawarkan pelbagai perkhidmatan kerajaan secara terus kepada rakyat, malah ia turut menjadi platfom untuk pelajar Teknikal dan Vokasional (TVET) menimba ilmu.
Menerusi program sukarelawan sempena PMR Kedah yang sedang berlangsung di Kompleks Sukan Majlis Daerah Baling di sini, pelajar Kolej Komuniti Bandar Baharu Ahmad Faiz Arshad Mohd Faisal, 20, berpeluang menyertai aktiviti menukar minyak enjin motosikal selama tiga hari, bermula semalam.
“Bidang pengajian saya ialah Sijil Teknologi Automotif, lebih kepada penyelenggaraan kereta, namun apabila berpeluang mengikuti program ini, saya juga dapat belajar ilmu baharu mengenai penyelenggaraan motosikal.
“Setakat ini, saya sudah tahu cara untuk selenggara motosikal, tukar minyak hitam dan mungkin jika ada peluang lagi lepas ni saya akan belajar membaiki motosikal pula,” katanya ketika ditemui Bernama pada PMR Kedah di sini, hari ini.
Rakannya Muhammad Darul Abdul Rahman, 20, berkata penyertaan sebagai sukarelawan seperti di PMR Kedah, merupakan pengalaman kali ketiga dia mengikuti program luar kolej yang lebih praktikal berbanding di dalam kampus.
“Saya suka menimba ilmu baharu dan program di luar kampus memang banyak dianjurkan pihak kolej, jadi bila ada peluang, saya akan sertai.
“Awal-awal dulu memang saya tak kenal jenis-jenis skru pun, tapi selepas seharian bertungkus lumus, boleh dikatakan sudah agak cekap dan kualiti kerja pastinya semakin baik,” katanya.
Sementara itu, tenaga pengajar Kolej Komuniti Bandar Baharu Suraya Ismail@Shaari berkata seramai enam pelajar dibawa menyertai program perkhidmatan menukar minyak enjin motosikal di PMR Kedah kali ini.
“Program ini bukan sahaja memberi peluang untuk mereka belajar melakukan sendiri dan terdedah dengan dunia kerjaya sebenar.
“Selain itu, mereka juga dapat menambah ilmu menerusi perkongsian dan tunjuk ajar daripada mekanik terlatih dan berpengalaman yang sekali gus memberi nilai tambah kepada semua pelajar yang terlibat,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial