AM

Johor Perkenal Garis Panduan Baharu, Elak Amalan Bertentangan Syarak

04/09/2025 07:36 PM

ISKANDAR PUTERI, 4 Sept (Bernama) -- Kerajaan Johor akan memperkenalkan garis panduan baharu bagi memastikan semua aktiviti, termasuk kebudayaan bebas daripada amalan bertentangan syarak seperti unsur pemujaan dalam kuda kepang yang berlaku di Batu Pahat, baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri Mohd Fared Mohd Khalid berkata garis panduan itu akan menjadi rujukan jelas kepada penganjur agar setiap aktiviti yang dijalankan selaras syariat Islam. 

Beliau berkata usaha tersebut dilaksanakan dengan kerjasama Universiti Tun Hussien Onn Malaysia (UTHM).

"Garis panduan ini akan diperkenalkan yang sifatnya adalah lebih umum meliputi semua aktiviti. Ia tidak kira aspek kebudayaan mahupun sukan," katanya pada sidang media selepas Majlis Amanat dan Penyampaian Sumbangan kepada Pelajar Johor ke Timur Tengah di Eko Galleria di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Fared berkata sebarang aktiviti yang mempunyai unsur pemujaan, sajian dan berupaya membuatkan seseorang hilang kewarasan adalah ditentang.

"Jika anak-anak darjah dua (contohnya) mahu membuat persembahan kuda kepang, mereka ada buat pemujaan tak? Jika tidak ada (jawapannya) boleh buat persembahan. Sebarang budaya yang menepati syarak ia diharuskan.

“Jadi seperti yang saya katakan jangan beri tumpuan hanya kepada kuda kepang sahaja tetapi semua," katanya.

Mohd Fared berkata Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) menerima kira-kira 10 aduan melibatkan amalan pemujaan termasuk membeli nombor ekor, bomoh dan ritual tertentu dalam tempoh dua tahun ini.

Justeru, beliau menegaskan pihaknya akan terus memantau dan mempergiat penguatkuasaan bagi mengelakkan sebarang aktiviti bertentangan ajaran Islam.

Sebelum ini, tular video bertajuk ‘Show Puja Jin Batu Pahat’ berdurasi satu minit di media sosial yang memaparkan upacara dipercayai berkaitan tarian kuda kepang.

Pada Selasa, tiga lelaki dijatuhi hukuman penjara sebulan dan denda RM2,000 oleh Mahkamah Syariah atas pertuduhan terbabit dalam upacara pemujaan dikaitkan dengan video tular tersebut.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan