SUKAN

“Demi Lencana Di Dada”, Lagu Rasmi Harimau Malaya - FAM

04/09/2025 04:30 PM

KUALA LUMPUR, 4 Sept (Bernama) -- Semangat bola sepak tanah air dijangka semakin membara apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dengan kerjasama Warner Music Malaysia (WMM) melancarkan lagu rasmi Harimau Malaya berjudul Demi Lencana Di Dada nyanyian kumpulan Hujan.

FAM dalam kenyataan hari ini memaklumkan, karya berkenaan bukan sekadar lagu hiburan, sebaliknya diangkat sebagai lagu rasmi skuad kebangsaan yang diyakini mampu memperkukuh semangat kesukanan serta patriotisme rakyat Malaysia ketika memberi sorakan kepada pasukan negara di pentas bola sepak.

Menurut vokalis Hujan, Noh Salleh, projek berkenaan digerakkan sejak Februari lalu dengan penekanan terhadap kualiti muzik, lirik dan mesej agar benar-benar menyentuh jiwa penyokong Harimau Malaya.

“Kami sangat berbesar hati dan bangga diberi peluang menyanyikan lagu rasmi Harimau Malaya. Sebagai rakyat Malaysia, bola sepak sudah menjadi sebahagian daripada jiwa kita semua.

“Apabila kami menyanyikan lagu ini, ia bukan sekadar melodi tetapi semangat yang menyatukan seluruh negara di belakang pasukan kebanggaan kita,” katanya dalam kenyataan FAM.

Sempena pelancaran rasmi, lagu itu akan diperdengarkan buat kali pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini ketika perlawanan persahabatan antara Malaysia dan Singapura, sebelum dimainkan semula pada aksi menentang Palestin di Stadium Sultan Ibrahim, Johor, Isnin ini.

Mengulas lanjut, Noh mengakui rakaman lagu berkenaan turut berdepan cabaran besar kerana mahu menyampaikan jiwa Harimau Malaya dengan penuh keikhlasan.

“Bukan mudah untuk menterjemahkan semangat perjuangan dalam bentuk lagu. Ia bukan sekadar hiburan, tetapi simbol perjuangan, pengorbanan dan harapan. Jadi, kami pastikan setiap lirik dan nada mampu membakar semangat pemain serta penyokong sama ada di stadium atau di rumah,” katanya.

Selain menyuntik semangat perpaduan, Demi Lencana Di Dada juga diharap dapat meniup inspirasi kepada pemain untuk terus mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.

“Besar harapan kami agar bola sepak Malaysia terus maju, bukan saja dari segi pencapaian, tetapi juga dalam menyatukan rakyat tanpa mengira bangsa dan latar belakang. Bola sepak ada kuasa untuk menghubungkan kita semua, dan dengan semangat Harimau Malaya, Malaysia mampu melakar sejarah membanggakan,” kata Noh yang mewakili anggota Hujan.

Lagu berkenaan boleh mula distrim di semua pelantar digital esok, manakala video lirik rasmi boleh ditonton di saluran YouTube WMM.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan