GEORGE TOWN, 4 Sept (Bernama) -- Seorang bekas jurulatih sukan di Pulau Pinang kerugian RM838,328 selepas terperdaya sindiket penipuan "phone scam", bulan lepas.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Azizee Ismail berkata lelaki berusia 75 tahun dihubungi suspek menyamar sebagai pegawai polis, memaklumkan mangsa disenarai hitam kerana terlibat kes penyebaran maklumat palsu dan pengubahan wang haram.
“Suspek meminta semua maklumat akaun simpanan mangsa dan mengarahkan lelaki itu memindahkan wang dari akaun simpanan tetap ke sebuah lagi akaun bank miliknya.
“Pada 11 Ogos, suspek mengarahkan mangsa menyerahkan kad bank dengan meninggalkan sampul surat berisi kad itu berhampiran pos pengawal kawasan perumahannya atas alasan untuk siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di sini semalam, selepas mendapati semua wang di dalam akaun simpanan itu dipindahkan ke akaun tidak diketahui.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Azizee menasihatkan orang ramai berhati-hati dengan panggilan telefon yang meminta maklumat peribadi atau butiran perbankan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial