AM

Penggunaan Scopus AI Diperluas Ke Semua Universiti Awam - Mustapha

03/09/2025 09:00 PM

PUTRAJAYA, 3 Sept (Bernama) -- Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan memperluas penggunaan teknologi Scopus AI di semua 20 universiti awam (UA) bagi penerbitan artikel berimpak tinggi yang diindeks badan antarabangsa seperti Web of Science (WOS) dan Scopus.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustapha Sakmud berkata Scopus AI merupakan inovasi terkini dibangunkan syarikat penerbitan dan analitik global, Elsevier bagi menyokong ekosistem penyelidikan global, khususnya dalam mempercepatkan pencarian maklumat, menganalisis literatur dan memberi panduan strategik penerbitan akademik.

“Teknologi ini dijangka mempercepatkan proses penyelidikan secara signifikan di samping memperkukuh impaknya di peringkat nasional.

“Malaysia juga menjadi negara pertama di Asia Pasifik yang melanggan Scopus AI untuk kegunaan 20 UA,” katanya ketika melancarkan National Scopus AI dan Sidang Kemuncak Impak Penyelidikan Elsevier 2025 di sini hari ini.

Mustapha berkata penyelidik berpeluang meneroka kes penggunaan utama daripada universiti terkemuka di Australia, Singapura dan Malaysia, sekali gus memperoleh pandangan praktikal yang boleh diaplikasikan dalam bidang masing-masing.

Turut hadir, Naib Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Prof Dr Arham Abdullah, Naib Presiden Penyelidikan, Kecerdasan dan Kejuruteraan APAC Elsevier Jessica Low serta Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Prof Datuk Dr Ahmad Ziad Sulaiman.

Mustapha berkata kecerdasan buatan itu membolehkan penyelidik menganalisis karya ilmiah, membongkar trend baharu serta mempercepatkan inovasi dengan ketepatan tinggi, di samping ia bukan sekadar kemajuan teknologi, sebaliknya pemerkasaan modal intelek negara.

Elsevier berpusat di Amsterdam, Belanda yang terkenal sebagai penerbit lebih 2,800 jurnal saintifik dan lebih 30,000 judul buku.

Melalui keupayaan carian berasaskan bahasa semula jadi, Scopus AI membolehkan penyelidik mengemukakan soalan kajian dengan mudah dan mendapat jawapan ringkas serta relevan, sekali gus mengurangkan masa meneliti ribuan artikel.

“Scopus AI turut menawarkan analisis trend penyelidikan, cadangan kolaborasi antarabangsa serta pemetaan impak akademik. Sasaran utama penggunaannya adalah penyelidik, pensyarah, pelajar pascasiswazah, pentadbir universiti, pustakawan akademik serta pihak industri,” katanya.

Beliau berkata fungsi cadangan jurnal dan analisis penerbitan yang ditawarkan Scopus AI memberi panduan strategik kepada penyelidik menghantar artikel ke jurnal berimpak tinggi, sekali gus meningkatkan peluang penerbitan dan mengangkat reputasi penyelidik serta institusi di persada antarabangsa.

Sidang Kemuncak Impak Penyelidikan 2025 yang bertemakan "Dari Teori kepada Amali: Merapatkan Jurang antara Penilaian Akademik dan Impak Dunia Sebenar" turut menyediakan platform perkongsian ilmu rentas disiplin, merangka strategi baharu dan penggunaan alat berasaskan data untuk memperkukuh ekosistem penyelidikan negara.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan