KUALA LUMPUR, 3 Sept (Bernama) -- Perkahwinan dengan rakyat tempatan dikenal pasti sebagai modus operandi utama untuk membolehkan warga asing menjalankan perniagaan di negara ini secara sah di sisi undang-undang.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Dr Fuziah Salleh berkata Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 (Akta 197) hanya membenarkan warganegara dan pemastautin tetap mendaftar perniagaan milikan tunggal atau perkongsian.
“Namun terdapat warga asing mengambil kesempatan dengan mendaftar perniagaan atas nama pasangan tempatan mereka.
“Mungkin kita boleh bincang bagaimana hendak melihat ini sebagai ancaman kepada keadaan peniaga yang lain,” katanya ketika menggulung perbahasan usul Rancangan Malaysia Ke-13 bagi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di Dewan Negara hari ini.
Fuziah berkata pihaknya sering menerima aduan daripada peniaga tempatan yang berasa tergugat dengan keadaan tersebut namun hakikatnya pendaftaran perniagaan tersebut adalah sah memandangkan yang berdaftar ialah pasangan tempatan mereka.
Fuziah berkata pendaftaran perniagaan seperti kedai runcit di bawah Akta 197 terhad kepada warganegara Malaysia atau pemastautin tetap sahaja, sebagai langkah perlindungan kepada perusahaan kecil dan sederhana tempatan daripada persaingan luar.
“Setakat ini, ​​Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) tidak ada undang-undang yang mengatakan kalau berkahwin dengan warga asing, tidak boleh daftar perniagaan, tidak ada undang-undang yang begitu,” katanya.
Beliau berkata pihaknya menerima pelbagai saranan masyarakat termasuk mengehadkan pendaftaran perniagaan kepada pasangan warga asing dalam tempoh tertentu selepas berkahwin, termasuk hanya dibenarkan selepas lima tahun perkahwinan.
Mengulas lanjut, Fuziah berkata tindakan penguatkuasaan terhadap peniaga asing dijalankan secara bersepadu bersama Jabatan Imigresen (JIM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) berikutan KPDN tidak mempunyai kuasa tangkapan.
“Mereka boleh mengambil pekerja asing tetapi kadang-kadang apabila kita tidak buat serbuan, pekerja asing ini duduk di kaunter hadapan. Itu tidak boleh tetapi apabila KPDN turun dan tidak ada kuasa, kita kena panggil JIM.
“Pekerja asing memang tidak boleh duduk di kaunter juruwang tetapi mereka boleh duduk di stor, kira stok dan angkat barang. Itu undang-undang apabila kita beri permit,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial