NILAI, 3 Sept (Bernama) -- Enforcement, Leadership and Management University (ELMU) hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Malaysian Press Institute (MPI) bagi memperkukuh usaha melahirkan pengamal media yang beretika dan berintegriti tinggi khususnya dalam pelaporan berita jenayah.
Naib Canselor ELMU Prof Datuk Dr Kassim Noor Mohamed, berkata MPI telah lama diiktiraf sebagai tonggak pembangunan kewartawanan berkualiti di Malaysia, dan universiti itu berkongsi aspirasi yang sama dalam melatih generasi baharu pengamal media bertanggungjawab.
“Menerusi kerjasama ini, kita akan menggabungkan ketelitian akademik dengan industri sebenar khususnya dalam bidang pelaporan berita jenayah yang memberi kesan besar kepada masyarakat. Berita jenayah bukan sekadar tajuk atau deadlines, ia membentuk kefahaman tentang keadilan, keselamatan dan ketenteraman sosial.
“Pelaporan jenayah yang bertanggungjawab bukan sahaja memaklumkan, tetapi juga mendidik, membimbing dan memperkasa komuniti. Ia menuntut sensitiviti, ketepatan dan komitmen teguh terhadap standard etika,” katanya kepada Bernama selepas majlis itu di sini hari ini.
Kassim menandantangani MoU itu mewakili ELMU manakala MPI diwakili Presidennya Datuk Yong Soo Heong. Turut hadir, Ahli Majlis Pentadbir MPI yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin.
Dalam pada itu, Yong berkata kerjasama antara MPI dan ELMU membuka lembaran baharu dalam pelaporan berita jenayah, bukan sekadar melaporkan tetapi memberi nafas baharu kepada penulisan jenayah dan penguatkuasaan.
Beliau berkata melalui latihan bersama, bengkel mendalam dan pertandingan menguji ketajaman minda serta keupayaan menyampaikan naratif berkesan, wartawan dan pengarang akan lebih diperkasa agar lebih peka, beretika dan berwawasan.
“Ini satu anjakan baharu kerana latihan khusus dalam berita jenayah jarang diadakan. Dengan gabungan kepakaran kedua-dua pihak, kita boleh menghasilkan pelaporan lebih menarik, mendalam dan berintegriti.
"Kadang-kadang berita jenayah ada ketirisan atau fakta tidak sahih, dan di sini kita ada kaedah untuk memastikan hasil berita kukuh dan berkualiti,” katanya.
Yong turut menegaskan MPI sentiasa bersedia dan terbuka untuk menjalankan kerjasama dengan pelbagai pihak bagi meningkatkan mutu kewartawanan di negara ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial