LANGKAWI, 3 Sept (Bernama) -- Mesyuarat Menteri-menteri Alam Sekitar ASEAN (AMME) menjadi platform utama kerjasama alam sekitar antara negara anggota untuk menyediakan panduan strategik dan hala tuju dasar bagi inisiatif bersama di seluruh rantau ini.
Pemangku Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata dengan sokongan Pegawai Kanan Alam Sekitar ASEAN (ASOEN), AMME telah memperkukuh inisiatif dan dasar yang memberikan kesan ketara terhadap rakyat dan alam semula jadi.
Beliau berkata AMME bukan sahaja menilai kemajuan, tetapi juga memberikan peluang penting kepada negara anggota untuk membaharui komitmen kolektif terhadap tindakan, meningkatkan kerjasama dan membentuk hala tuju yang lebih bersepadu dan penuh keazaman.
"Kami berharap dapat memperkukuh kerjasama serantau berkenaan keutamaan alam sekitar menerusi kerjasama rentas sektor yang lebih mendalam, khususnya dalam kalangan AMME, ASOEN dan badan sektoral di bawah ASEAN.
"Kedua, kami berhasrat memuktamadkan pendirian bersama ASEAN menjelang Persidangan Pihak-pihak ke Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC COP30) pada akhir tahun ini.
"Kita perlu bersatu sebagai rantau untuk mempengaruhi perbincangan iklim global secara berkesan. ASEAN boleh dan perlu mengambil pendirian lebih tegas dalam isu seperti pembiayaan iklim, penyesuaian, kerugian dan kerosakan, peralihan adil dan Matlamat Global mengenai Penyesuaian," katanya dalam ucapan pembukaan AMME ke-18 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LICC), di sini hari ini.
Beliau berkata ASEAN juga ingin memajukan pelaksanaan perjanjian alam sekitar pelbagai hala yang relevan dengan blok serantau itu, termasuk Perjanjian Paris, Rangka Kerja Biodiversiti Global Kunming–Montreal (KMGBF) dan Jawatankuasa Perundingan Antara kerajaan (INC) mengenai Perjanjian Plastik Global.
"Marilah kita menggunakan peluang ini bukan sahaja untuk menilai kejayaan lepas, tetapi juga untuk bergerak ke hadapan dengan matlamat yang berimpak. Bersama-sama, kita dapat membina kerjasama berkekalan, membangunkan penyelesaian praktikal dan menunjukkan kepimpinan ASEAN dalam mencipta masa depan yang mampan, inklusif dan berdaya tahan iklim," katanya.
Johari turut mengundang semua menteri dan pegawai alam sekitar ASEAN yang menghadiri mesyuarat ini untuk meluangkan masa menikmati keindahan Langkawi dan merasai semangat sebenar Malaysia.
"Daripada pantai yang indah dan hutan hujan yang menghijau kepada budaya yang kaya, sajian tempatan dan keramahan rakyat, kami berharap anda merasai kebanggaan kami, iaitu Malaysia, Truly Asia," katanya.
AMME ke-18 berlangsung selama tiga hari sejak semalam, menghimpunkan menteri dan pegawai kanan alam sekitar ASEAN untuk membincangkan kerjasama serantau mengenai kemampanan dan pengurusan alam sekitar secara inklusif.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial