GEORGE TOWN, 2 Sept (Bernama) -- Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini memulakan kempen bagi mempromosi Dana Pelaburan Bersama Strategik (CoSIF) di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dengan lokasi pertama jelajah di Pulau Pinang.
Dalam kenyataannya, SC berkata NIMP CoSIF itu bertujuan menjadi pemangkin pertumbuhan yang berpotensi bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta syarikat pertengahan (MTC), terutamanya yang berada di barisan hadapan inovasi pembuatan.
“NIMP CoSIF yang dilancarkan pada Februari 2025 oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) adalah skim pelaburan bersama awam dan swasta yang membolehkan kerajaan melakukan pelaburan bersama dengan pelabur swasta dalam perniagaan merangkumi 21 sektor sasaran yang dikenal pasti di bawah NIMP.
“Menerusi peruntukan awal sebanyak RM131.5 juta, NIMP CoSIF dirangka khusus sebagai satu intrumen gabungan kewangan dengan memanfaatkan dua jenis pilihan pendanaan pasaran modal iaitu pendanaan awam ekuiti (ECF) dan pembiayaan rakan setara (P2P),” katanya.
Siri jelajah NIMP CoSIF Pulau Pinang itu yang dihadiri oleh PKS, MTS dan pemaju ekosistem berpangkalan di negeri itu, turut mengetengahkan sesi mengenai pilihan pendanaan pasaran modal bagi perniagaan berskala kecil.
Pengerusi SC Datuk Mohammad Faiz Azmi berkata NIMP CoSIF dapat menangani keperluan pembiayaan berkenaan menerusi aspek mobilisasi modal pertumbuhan strategik dengan memanfaatkan kedalaman serta inovasi pasaran modal.
“Menerusi langkah mengurangkan risiko pembiayaan serta membuka akses modal melalui platform ECF dan P2P, CoSIF mempercepatkan akses kepada modal pertumbuhan bagi syarikat-syarikat ini selain menyokong sektor strategik yang disenaraikan dalam NIMP 2030,” katanya.
Selain itu, SC berkata lebih banyak program libat urus di seluruh negara sedang dirangka, termasuk jelajah berikutnya yang dijadualkan di Kuala Lumpur dan Johor menjelang akhir 2025.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial