FOKUS BERNAMA

Strok Bukan Noktah: Azli Bangkit Kembali Bersama RTW PERKESO

31/08/2025 12:26 PM
Daripada Muhammad Afiq Mohd Asri

Daripada seorang pengarah syarikat perunding pendidikan yang petah berkata-kata di pentas seminar antarabangsa, Azli Ibrahim terpaksa belajar semula menyebut perkataan demi perkataan, berjalan selangkah demi selangkah selepas strok meragut hampir seluruh keupayaannya.

Serangan angin ahmar itu bukan sahaja melemahkan tangan dan kaki kanannya, malah turut merencatkan kemampuannya bertutur dengan jelas, satu perkara penting dalam kerjayanya.

Detik hitam itu hampir memadamkan keyakinan dirinya. Seorang lelaki yang biasa berucap di depan khalayak ratusan orang kini perlu berusaha keras untuk bertutur dengan jelas, waima menyebut nama sendiri. Namun di sebalik ujian berat itu, Azli memilih untuk tidak menyerah.

Menyingkap kembali kejadian itu, Azli, 55, berkata dia mengalami serangan strok pada pertengahan Jun 2024 dan seterusnya pengsan akibat komplikasi darah tinggi serta kencing manis, sebelum dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini.

“Pada mulanya saya sangat terkejut dan sukar menerima kenyataan. Saya risau tentang masa depan syarikat dan kebajikan keluarga kerana kerja saya bergantung pada komunikasi,” katanya.

 

PERJALANAN PEMULIHAN INTENSIF DI HUSM

Dia kemudian dirujuk ke Klinik Return to Work (RTW) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso)-USM dan menjalani rawatan pemulihan intensif di Pusat Rehabilitasi Perkeso di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.

Rawatan menggunakan teknologi robotik canggih itu membantu melatih kembali pergerakan tangan dan kakinya. Sesi dikendalikan oleh pakar rehabilitasi, ahli fisioterapi serta jurupulih cara kerja yang turut memberi motivasi supaya Azli terus bersemangat.

“Pengalaman ini sangat luar biasa. Ia bukan sekadar rawatan fizikal, tetapi proses pemulihan menyeluruh yang memulihkan semangat saya,” katanya kepada Bernama di HUSM, di sini baru-baru ini.

 

CABARAN FIZIKAL DAN EMOSI SEPANJANG PEMULIHAN

Selain kelemahan fizikal, cabaran terbesar Azli ialah kesukaran bertutur yang menjejaskan keyakinan dirinya.

pic-2

“Sebagai perunding pendidikan, kerja saya banyak melibatkan sesi konsultasi dan seminar. Bila percakapan tidak jelas dan sering disalah faham, saya jadi tertekan dan hilang keyakinan. Saya rasa terasing kerana tidak dapat berkomunikasi seperti biasa,” katanya.

Di sebalik dugaan itu, sokongan keluarga menjadi pendorong utamanya. Isteri dan anak-anaknya tidak pernah jemu menemani setiap sesi rawatan, manakala sokongan pasukan rehabilitasi serta pegawai Perkeso membantunya terus tabah.

Berkat usaha gigih dan program RTW, Azli kini kembali aktif menguruskan syarikatnya. Dia berjaya menganjurkan seminar di luar negara seperti Thailand dan Indonesia meskipun masih berdepan kekangan fizikal.

“Kehidupan keluarga saya kembali stabil dan saya lebih menghargai sokongan mereka. Saya juga lebih yakin untuk berdepan dengan orang ramai,” katanya penuh syukur.

 

PROGRAM RTW PERKESO: PELUANG KEDUA

Program RTW diperkenalkan pada 15 Jan 2007, bertujuan membantu Orang Berinsurans (OB) yang mengalami kecederaan atau penyakit untuk kembali bekerja secara selamat dan awal, sekali gus membuka peluang kedua kepada mereka yang mengalami hilang upaya.

Pengarah Perkeso Kelantan Nora Yaacob berkata bagi tempoh 1 Jan 2024 hingga 31 Mei 2025, sebanyak 79,934 kes telah diuruskan oleh Pengurus Kes di seluruh negara dan 56,609 individu berjaya diintegrasikan semula ke alam pekerjaan melalui pelbagai kaedah seperti penempatan semula, latihan vokasional serta sokongan majikan.

“Di Kelantan sahaja, sebanyak 2,430 kes telah diuruskan, dan daripada jumlah itu 1,631 individu berjaya kembali bekerja, sama ada di tempat kerja asal atau menerusi pekerjaan baharu yang bersesuaian,” katanya.

 

TEKNOLOGI PEMULIHAN DAN HARAPAN BAHARU

Bagi memperkukuh program RTW, Perkeso turut melakukan kolaborasi strategik selain penggunaan teknologi terkini, antaranya pengenalan teknologi pemulihan robotik Cyberdyne (HAL) untuk rawatan neurologi seperti kes kecederaan saraf tunjang dan lumpuh.

pic-3

“Teknologi ini menjadikan Malaysia yang pertama di Asia Tenggara menggunakannya dan kini turut diperluaskan ke Kelantan. Tujuh unit robotik Cyberdyne ditempatkan di HUSM untuk digunakan secara percuma oleh pencarum,” katanya.

Selain itu, Perkeso turut mempertingkat sistem sokongan pemulihan melalui transformasi digital, termasuk pengkelasan automatik kes berdasarkan standard pengekodan antarabangsa ICD-11 yang menjadikan proses pemulihan lebih dinamik, komprehensif dan berkesan.

Nora berkata pihaknya bekerjasama dengan pusat rehabilitasi awam dan swasta bagi memastikan rawatan serta intervensi pemulihan yang diberikan kepada OB selari dengan standard profesional dan teknologi semasa.

Beliau berkata setakat ini sebanyak 11 panel pembekal rehabilitasi telah dilantik, merangkumi kawasan Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh. 

“Bagi perancangan berikutnya, Perkeso Kelantan sedang berusaha melantik panel pembekal rehabilitasi di setiap jajahan. Dengan langkah ini, setiap pencarum di kawasan luar bandar ataupun bandar dapat memperoleh manfaat pengurusan hilang upaya secara percuma,” katanya.

Menurutnya, program ini turut menyediakan latihan kepada majikan melalui Bengkel Return to Work Coordinator (RTWC) untuk menguruskan pekerja hilang upaya secara sistematik, berempati dan berasaskan amalan terbaik.

“Selain itu, kerajaan melalui Lembaga Hasil Dalam Negeri turut menyediakan insentif pengecualian cukai berganda kepada majikan yang menggajikan Orang Kurang Upaya (OKU) dan peserta Program Pengurusan Hilang Upaya (PHU),” katanya.

 

CABARAN LAKSANA RTW

Nora berkata cabaran terbesar di Kelantan ialah rendahnya kesedaran dalam kalangan majikan dan masyarakat luar bandar yang beranggapan hilang upaya bermaksud tiada harapan untuk kembali bekerja.

“Persepsi ini perlu diubah kerana hakikatnya tidak semua bentuk kecacatan membawa kepada ketidakupayaan kekal. Dengan sokongan pemulihan yang cekap dan menyeluruh melalui Program Pengurusan Hilang Upaya Perkeso, ramai individu berpotensi untuk kembali aktif bekerja dan menjalani kehidupan yang produktif,” katanya.

Beliau berkata faktor logistik juga memberi kesan kepada keberkesanan intervensi, khususnya bagi kes yang berada jauh dari bandar serta tidak mempunyai akses mudah kepada pusat rehabilitasi.

Perkeso Kelantan mengatasi masalah tersebut melalui perkhidmatan fisioterapi dan kaunter bergerak di kawasan pedalaman seperti Gua Musang serta bekerjasama dengan penghulu dan pemimpin setempat bagi memastikan tiada OB tercicir.

“Cabaran-cabaran ini tidak melemahkan usaha kami, sebaliknya menjadi pemangkin untuk terus memperluas jangkauan serta memperkukuh sistem sokongan di peringkat akar umbi,” katanya.

 

TIGA BULAN MENGUBAH HIDUP

Dalam pada itu, Pegawai Pemulihan Perubatan Hospital Pakar USM Hasnetty Zuria Mohamed Hatta berkata OB Perkeso yang dirujuk ke wad berkenaan akan menerima tiga bentuk rawatan utama, iaitu terapi robotik, fisioterapi dan terapi cara kerja (OT).

pic-4

Beliau berkata terapi robotik menggunakan teknologi Cyberdyne, yang memberi tumpuan kepada pergerakan asas seperti berjalan, menggerakkan siku dan lutut.

“Bagi fisioterapi pula, fokusnya pada kekuatan otot dan pergerakan anggota badan seperti berdiri, berjalan, turun naik tangga serta mencangkung. Rawatan ini sangat penting terutamanya bagi pesakit strok yang mengalami kelemahan otot,” katanya.

OT pula menekankan aspek kemandirian pesakit dalam menguruskan kehidupan harian.

“Pesakit strok misalnya, mungkin tidak dapat memakai baju, makan atau ke tandas sendiri. OT akan melatih mereka menggunakan anggota yang masih berfungsi untuk melakukan aktiviti asas. OT juga membantu dalam motor halus seperti mengezip seluar, membutang baju atau mengikat rambut,” katanya.

Hasnetty Zuria berkata selepas pesakit berjaya berdikari dalam aktiviti asas, OT akan menilai pula aktiviti instrumental kehidupan harian (IADL) seperti kemahiran memandu, membeli-belah atau berurusan di bank. 

Beliau berkata penilaian memandu melibatkan simulasi bagi menguji masa reaksi, koordinasi mata, tangan dan kaki sebelum pesakit dibenarkan kembali memandu.

“Jika sesuai, pesakit boleh menjalani penilaian di jalan raya dengan kerjasama JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) dan sekolah memandu. Pesakit yang lulus ujian ini akan diberikan lesen memandu khas OKU,” katanya.

Hasnetty Zuria berkata tempoh rawatan lazimnya mengambil masa sekitar tiga bulan. Namun, jika selepas tempoh itu pesakit masih belum pulih sepenuhnya, mereka boleh memohon lanjutan rawatan serta cuti sakit dengan kelulusan doktor.

 

PERANAN PENTING PENGURUS KES RTW

Sementara itu, peranan Pengurus Kes RTW Perkeso juga tidak kurang pentingnya.

Ketua Negeri Pengurusan Hilang Upaya Perkeso Kelantan Nor Azieemah Ismail menegaskan tugas mereka bukan sekadar mengurus dokumen tetapi membina keyakinan pesakit supaya dapat kembali bekerja.

“Kami menjadi penghubung antara pekerja dengan doktor, majikan, jurupulih dan keluarga. Setiap kes disusun dengan pelan pemulihan holistik daripada tuntutan faedah, rawatan perubatan, pemulihan fizikal hinggalah sokongan vokasional. Matlamatnya hanya satu; memastikan mereka kembali bekerja dengan yakin dan selamat,” katanya.

Proses pemulihan biasanya bermula sejurus pekerja dirujuk selepas kecederaan atau penyakit. Penilaian awal dijalankan untuk mengenal pasti tahap hilang upaya sebelum pelan intervensi digarap melibatkan fisioterapi, latihan semula serta penyesuaian tugas. Malah, penilaian tempat kerja turut dilakukan agar integrasi semula berjalan lancar.

“Kami mahu mereka kembali bekerja dengan berdikari, bukan sekadar hadir di tempat kerja,” katanya.

 

ASPEK PSIKOLOGI DAN SOKONGAN MAJIKAN

Namun, setiap perjalanan pasti ada cabaran. Antara yang terbesar ialah OB sendiri hilang keyakinan selepas diuji dan kurangnya sokongan majikan terhadap penempatan semula pekerja.

pic-5

“Inilah peranan kami menjadi pendorong dan pembuktian hidup bahawa hilang upaya bukan penghalang jika melalui pengurusan yang tepat,” katanya.

Bagi Nor Azieemah, aspek psikologi merupakan tunjang pemulihan. Pengurus kes perlu menjadi pendengar dan pembina keyakinan selain melibatkan keluarga sebagai benteng sokongan.

“Paling penting, kami melihat mereka bukan sebagai mangsa keadaan, tetapi sebagai individu yang masih memiliki potensi untuk menyumbang semula,” katanya.

Pengalaman menguruskan kes-kes berat sering memberi kesan mendalam. Satu daripada kes yang paling diingati beliau ialah seorang pencarum yang menghidap schizoaffective disorder, diberhentikan kerja, bercerai dan terpaksa membesarkan dua anak termasuk seorang anak istimewa.

“Dia hampir berputus asa, tetapi selepas dibimbing melalui RTW akhirnya berjaya kembali bekerja sebagai pembantu kedai makan. Itu simbol kekuatan seorang bapa dan bukti bahawa pemulihan adalah mungkin,” katanya.

 

IMPAK POSITIF PADA INDIVIDU DAN NEGARA

Nor Azieemah menegaskan program RTW memberi impak besar bukan sahaja kepada individu tetapi juga negara. Pemulihan membolehkan OB kembali bekerja, menjana pendapatan dan mengurangkan kebergantungan pada bantuan sosial.

“Pada skala lebih luas, ia mengekalkan tenaga kerja produktif, mengurangkan kos kebajikan jangka panjang dan membentuk budaya kerja inklusif. Ini pelaburan sosial dengan pulangan besar kepada negara,” katanya.

Kepada majikan, beliau menitipkan pesan bahawa mengambil semula pekerja yang pulih melalui RTW bukanlah beban, sebaliknya peluang strategik.

“Mereka kembali bukan sahaja dengan fungsi fizikal yang dipulihkan, malah dengan semangat baharu. Dengan membuka ruang kepada mereka, majikan bukan sekadar melabur dalam sumber manusia yang tahan uji tetapi juga memperkukuh reputasi sebagai organisasi inklusif dan bertanggungjawab sosial,” katanya.


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan