AM

PLUS Jangka 2.2 Juta Kenderaan Sempena Cuti Hari Kebangsaan

28/08/2025 11:25 PM

KUALA LUMPUR, 28 Ogos (Bernama) -- PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan peningkatan trafik sehingga 2.2 juta kenderaan sehari di rangkaian lebuh rayanya esok dan 1 Sept ini sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68.

Sehubungan itu, PLUS dalam kenyataan menasihatkan pengguna lebuh raya supaya merancang perjalanan lebih awal untuk menikmati perjalanan yang lancar dan selesa.

Menurut pengendali lebuh raya itu, MyPLUS-TTA dalam aplikasi PLUS telah ditambah baik bagi memudahkan pengguna merancang perjalanan bagi hari-hari puncak di luar musim perayaan di Lebuhraya PLUS dan Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2).

PLUS memaklumkan aplikasi itu kini memperkenalkan simpanan laluan kegemaran di bawah fungsi ‘Laluan Kegemaran’ untuk akses lebih pantas dan menampilkan paparan ‘Amaran Masa Nyata’ terus pada halaman hasil carian, sekali gus memberikan maklumat segera mengenai keadaan trafik.

“Selain itu, fungsi carian turut dipertingkatkan dengan pilihan ‘menu ke bawah’ menggantikan kaedah menatal sebelum ini bagi memudahkan pemilihan laluan lebih cepat dan mesra pengguna,” menurut PLUS.

Menurut PLUS, tidak seperti musim perayaan sebelum ini iaitu tarikh perjalanan ditetapkan lebih awal, PLUS akan terus memantau aliran trafik harian dan mengemas kini nasihat tempoh puncak secara berterusan, bagi memastikan pengguna menerima panduan perjalanan yang paling relevan secara masa nyata.

Sementara itu, bagi menyemarakkan semangat patriotisme sempena Bulan Kebangsaan, PLUS memaklumkan pihaknya antara lain menghias lebih 21 Kawasan Rehat dan Rawat dan hentian sebelah mengikut tema sambutan tahun ini ‘Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni’, selain memaparkan mesej sambutan dalam bentuk digital di Lebuhraya PLUS sehingga 16 Sept ini.

Selain itu, PLUS turut menganjurkan peraduan #TerokaMalaysiaBersamaPLUS dengan kerjasama Tourism Malaysia menerusi platform TikTok yang menawarkan hadiah keseluruhan lebih RM15,000 seperti Canon G7x Mark II, DJI Osmo Pocket 3, Insta360 Go 3S dan kredit eWallet Touch ’n Go bernilai RM200 setiap satu.

“Pengguna hanya perlu memuat turun aplikasi PLUS dan menggunakan fungsi PLUS Passport. Peraduan ini berlangsung sehingga 16 Sept 2025,” menurutnya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan