AM

Resorts World Kijal Perkasakan Usaha Pemuliharaan Penyu

28/08/2025 10:21 PM

Oleh Nur Elysa Amirah Suhaimi

KEMAMAN, 28 Ogos (Bernama) -- Resorts World Kijal (RWK) kekal komited melindungi populasi penyu yang semakin diancam kepupusan menerusi inisiatif berterusan pemuliharaan spesies itu, sekali gus memupuk kesedaran kelestarian alam.

Bertemakan “Bersama Melindungi Warisan Lautan Kita”, anak syarikat Genting Malaysia Bhd itu bekerjasama dengan Jabatan Perikanan Negeri Terengganu dan Dana Hidupan Liar Sedunia (WWF) Malaysia, bagi melaksanakan program yang menekankan pendidikan alam sekitar, penglibatan belia dan langkah pemuliharaan di Resorts World Kijal, antara lokasi pendaratan penyu negara.

Pemangku Pengurus Hotel RWK Fatimah Asmawatty Mohd Kamal berkata kerjasama dengan Jabatan Perikanan Negeri Terengganu bermula pada 2023, menerusi pengumpulan penyu daripada jabatan tersebut sebelum pusat penetasan pertama tempat peranginan itu, ditubuhkan pada 2024.

“Tahun lepas kami telah menubuhkan pusat penetasan sendiri dan lebih 600 ekor anak penyu berjaya dilepaskan setakat rekod tahun ini.

“Buat masa ini, kami hanya ada satu pusat penetasan, tetapi lokasinya akan berubah setiap dua tahun atas nasihat Jabatan Perikanan bagi mengelak risiko bakteria, namun ia kekal di sekitar kawasan Kijal,” katanya selepas program konservasi penyu di Pantai Kijal pada Sabtu.

Berlangsung pada 23 Ogos, program tersebut menyaksikan sebanyak 100 ekor anak penyu agar berusia sehari dibebaskan ke habitat asal, manakala kerja pembersihan sepanjang 7.6 kilometer (km) dan penanaman 30 anak benih kelapa pula dijalankan pada 24 Ogos.

Fatimah berkata RWK juga menjalinkan tiga kerjasama tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan syarikat korporat dan institusi pendidikan, selain penganjuran mingguan bersama tetamu yang menginap di sana. 

“Sesi penerangan mengenai pemuliharaan penyu serta pengalaman melepaskan anak penyu ke laut kepada tetamu diadakan setiap hari Sabtu, dengan tujuan memberi pengetahuan kepada mereka.

“Apabila kita bercerita tentang tipisnya peluang anak penyu untuk bertahan, ada antara mereka yang begitu tersentuh hingga menitiskan air mata.

“Bayangkan, daripada 1,000 anak penyu yang dilepaskan, hanya satu atau dua ekor sahaja berpeluang untuk terus hidup,” katanya.

Sementara itu, Ketua Cawangan Konservasi dan Perlindungan Perikanan, Pejabat Perikanan Negeri Terengganu Norlizawati Ibrahim berkata kerjasama bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO), satu ikhtiar untuk melestarikan pemuliharaan reptilia itu. 

“Selain terkenal dengan penyu, Terengganu juga merupakan lokasi pendaratan penyu paling tinggi di Semenanjung Malaysia dan kos pengurusannya lebih besar berbanding negeri lain.

“Kita (jabatan) tidak mampu bergerak sendiri, jadi dengan adanya kerjasama badan NGO, ia memperluas lagi usaha kerana suara mereka lebih didengar dan inisiatif ini membantu memulihkan populasi penyu di perairan negara,” katanya.

Sementara itu, Genting Malaysia dalam satu kenyataan berkata data Jabatan Perikanan Negeri Terengganu menunjukkan pendaratan penyu kini semakin jarang berlaku di negeri itu dan hanya sebilangan kecil anak penyu berjaya membesar hingga dewasa.

“Ini satu peringatan jelas tentang keperluan mendesak untuk pemuliharaan bersepadu yang digerakkan melalui kolaborasi syarikat swasta, kerajaan dan komuniti setempat,” menurut kenyataan itu.

Resorts World Kijal, yang terletak di Kemaman, bukan sekadar destinasi pelancongan, ia juga habitat penting bagi spesies penyu yang terancam seperti Penyu Agar (Chelonia mydas) dan Penyu Karah (Eretmochelys imbricata).

Sebagai penaja utama, RWK dalam kenyataan sama memaklumkan pemuliharaan alam semula jadi menjadi sebahagian daripada pengalaman pelancongan ditawarkan, selaras hala tuju jangka panjang CSR yang menggabungkan elemen hospitaliti dan kelestarian sekali gus menawarkan pengalaman yang bermakna kepada pengunjung.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan