KANGAR, 28 Ogos (Bernama) -- Generasi muda perlu menyeimbangkan kecemerlangan ilmu dengan keperibadian baik supaya mampu menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara.
Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah untuk itu pembinaan akhlak baik merupakan aspek penting bagi memupuk jati diri dalam kalangan pelajar bagi melengkapkan modal insan berkualiti dalam diri mereka.
“Saya berharap pembinaan akhlak yang baik perlulah diterapkan dengan gandingan bersama antara ibu bapa dan pihak sekolah.
“Pesanan ini juga saya tujukan kepada para pelajar di depan saya, teruskanlah berusaha menimba ilmu dan pengalaman, agar suatu hari nanti menjadi insan berguna kepada agama, bangsa dan negara,” titah baginda ketika berkenan merasmikan Hari Anugerah Cemerlang dan Hari Kokurikulum Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Derma sesi akademik 2025 di sini hari ini.
Sementara itu, Tuanku Syed Sirajuddin bertitah pelajar perlu sentiasa mempunyai rasa ingin tahu dan berusaha menimba ilmu dengan banyak bertanya serta mencari jawapan sebagai sebahagian proses mengasah pemikiran kritis.
“Fikiran kita mesti sentiasa bertanya apa, siapa, bila dan pelbagai soalan. Jangan hanya melihat dan menerima sahaja. Setiap soalan pasti ada jawapan, dan untuk mendapat jawapan itu kita mesti bertanya,” titah baginda.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial