IPOH, 28 Ogos (Bernama) -- Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan berangkat menyempurnakan perasmian Majlis Sambutan Jubli Perak Royal College of Medicine Perak (RCMP), UniKL, di sini hari ini.
Keberangkatan tiba baginda disambut Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad.
Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Asyraf Wajdi Dusuki dan Pengerusi RCMP Datuk Dr Afifi Al-Akiti.
Dr Afifi dalam sembah ucapannya berkata sebagai satu-satunya institusi pengajian tinggi di Malaysia yang dikurniakan status diraja, kolej tersebut beriltizam memastikan kecemerlangan pendidikan dan pembangunan mahasiswa sentiasa dipertingkatkan selari dengan pengiktirafan tersebut.
"Sejak ditubuhkan, kolej ini telah memainkan peranan penting dalam melahirkan tenaga profesional dalam bidang perubatan dan sains kesihatan bersekutu.
"Dengan semangat 25 tahun kegemilangan, institusi ini komited untuk terus memperkukuh peranannya sebagai pusat pendidikan tinggi dalam bidang kesihatan yang unggul di rantau ini," katanya.
RCMP ditubuhkan atas perkenan dan ilham Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah pada 18 Feb 1999.
Dalam pada itu, Sultan Nazrin turut berkenan melancarkan buku ‘Handbook of Rheumatoid Arthritis and Images in Rheumatology’ oleh Prof Datuk Dr Wahinuddin Sulaiman dan Dr Ainon Mohd Mokhtar.
Buku berkenaan merupakan naskhah pertama dalam bidang reumatologi diterbitkan di Malaysia dan menjadi rujukan utama untuk pelajar perubatan, pengamal kesihatan, pesakit dan penjaga.
Baginda turut berkenan melancarkan buku ‘Modul Usrah Kontemporari’ dan ‘Smart Circle Module’ yang menumpukan kepada pembangunan modal insan Huffaz Profesional.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial