KUALA LUMPUR, 28 Ogos (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Kerajaan MADANI mengambil kira keperluan pembangunan dicadangkan oleh kerajaan-kerajaan negeri bagi mempersiapkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dan Belanjawan 2026.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan Persekutuan melakukan pendekatan mengadakan siri perbincangan dengan kerajaan negeri bagi mendengar dan menilai cadangan yang dikemukakan.
“Bagi mempersiapkan RMK13 dan belanjawan, saya turun ke negeri-negeri, ‘Anwar Turun’, tetapi ke negeri untuk mendengar dan kemudian atas permintaan Menteri Besar termasuk Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah, mereka cadangkan beberapa keutamaan.
“Itu kadang-kadang berbeza dengan keutamaan Persekutuan dan Kementerian Kewangan, tetapi saya ubah suai dan beri jaminan, satu dua keutamaan yang negeri pilih kita akan terima dan insya-Allah saya akan umumkan dalam belanjawan Oktober ini,” kata Anwar pada Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) yang inginkan penjelasan sama ada perancangan projek pembangunan infrastruktur oleh kerajaan Persekutuan hanya tertumpu kepada negeri tertentu dan meminggirkan sebahagian yang lain.
Perdana Menteri turut memberikan contoh pembangunan pusat kanser di Sarawak yang pada awalnya tiada dalam perancangan kerajaan Persekutuan.
“Umpamanya kalau di Sarawak dicadangkan pusat kanser yang mulanya tiada dalam perancangan kita, tetapi Sarawak kata tidak apa, kita mulakan dengan RM1 bilion dan kerajaan Persekutuan akan bayar kemudian.
“Hal-hal seperti ini kita teruskan berdasarkan keutamaan yang ditetapkan oleh negeri, sama juga yang kita buat di Johor, Kelantan dan negeri-negeri lain,” kata beliau.
Sementara itu, Anwar berkata kerajaan akan memastikan pengagihan kemudahan asas yang lebih adil di setiap negeri termasuk pembangunan sekolah dan kemudahan lain, selain isu kesalinghubungan digital.
Perdana Menteri berkata beliau bersetuju dengan peruntukan pembangunan di desa dan wilayah yang perlu disediakan dengan jumlah yang lebih bagi mengurangkan beban jurang ekonomi antara negeri.
“Kita juga teliti, umpamanya rancangan (Malaysia) Vision Valley yang sedang meningkat cepat serta beberapa program pelancongan di sekitar Port Dickson untuk merapatkan jurang (ekonomi),” katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan Jalaluddin mengenai langkah kerajaan untuk memastikan penyaluran pelaburan yang seimbang antara bandar dengan luar bandar sekali gus mengawal penghijrahan generasi muda ke kawasan bandar.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial