Oleh Vikneswaran Raman
KUALA LUMPUR, 27 Ogos (Bernama) -- Rang Undang-Undang Pekerja Gig 2025 yang dijadualkan untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat esok, tidak akan membawa kepada kenaikan harga perkhidmatan atau mengenakan beban tambahan ke atas pengguna, menurut pakar ekonomi dan dasar Dr Geoffrey Williams.
Beliau berkata rang undang-undang itu bertujuan memberikan perlindungan dan mengiktiraf peranan pekerja dalam sektor gig, yang lebih bersifat pentadbiran serta tidak memperkenalkan kos baharu kepada platform penyedia atau pengguna meskipun terdapat dakwaan sebaliknya oleh pihak tertentu.
"Satu-satunya kos tambahan ialah levi kecil PERKESO (Pertubuhan Keselamatan Sosial) sebanyak 1.25 peratus yang akan dibayar oleh pekerja gig sendiri selepas mereka menerima bayaran untuk pekerjaan mereka, sama seperti pekerja lain. Ini bermakna pengguna tidak akan melihat sebarang kenaikan harga," katanya kepada Bernama.
Williams menyifatkan rang undang-undang itu sebagai satu langkah positif, menyatakan bahawa ia menyediakan definisi dan rangka kerja undang-undang yang sangat diperlukan untuk pekerja gig, di samping memformalkan sumbangan PERKESO.
"Jadi ia bukan peraturan yang berlebihan dan membenarkan skop untuk status quo diteruskan sambil menangani kebimbangan mengenai perlindungan undang-undang dan sosial. Ini membolehkan ekonomi gig kekal fleksibel dan inovatif dan selaras dengan cadangan saya sebelum ini," katanya.
Bekas Profesor dan Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan di HELP University itu berkata perundangan tersebut perlu bagi menyiapkan ekonomi gig dengan asas undang-undang yang sewajarnya untuk berfungsi dengan baik seperti pasaran lain.
Ditanya mengenai saranan beliau untuk menambah baik rang undang-undang itu, Williams berkata penjelasan terperinci mengenai perwakilan undang-undang ketika perbicaraan berkaitan peraturan perlu dilakukan selain meluaskan perlindungan kepada semua pekerja ekonomi gig seperti profesional dan pekerja bebas berpendapatan tinggi.
Beliau juga menekankan kepentingan mekanisme pengawasan.
"Majlis perundingan harus menyediakan pemantauan yang mencukupi, namun ia sama penting untuk mempunyai penilaian impak kawal selia, ekonomi dan sosial yang bebas untuk memastikan proses itu berjalan dengan berkesan tanpa membebankan penyedia platform,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi pakar ekonomi Dr Nungsari Ahmad Radhi turut berpendapat pelaksanaan Rang Undang-Undang Pekerja Gig 2025 tidak akan menjejaskan yuran perkhidmatan.
“Sumbangan pekerja gig kepada PERKESO adalah daripada pekerja sendiri, tidak ada kena-mengena dengan harga barang yang dia kendalikan,” katanya.
Nungsari yang juga Pengerusi Institut Penyelidikan Khazanah dan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), yakin bahawa versi rang undang-undang yang dibentangkan Kementerian Sumber Manusia semasa bacaan pertama pada Isnin ialah versi terbaik yang mengambil kira semua pertimbangan.
Beliau berkata pelaksanaan undang-undang itu perlu diteliti untuk menentukan sebarang keperluan penambahbaikan.
Nungsari berkata perundangan pekerja gig amat diperlukan memandangkan konsep pekerjaan telah berubah dan banyak pekerja sektor gig seperti penghantar barangan (delivery rider) masih tidak dilindungi walaupun berdepan risiko tinggi kemalangan setiap hari.
“Takkan kita nak biarkan begitu ramai pekerja gig tidak dilindungi kalau berlaku kemalangan atau kecederaan? Kenapa hak mereka tidak dilindungi?
“Pekerja gig tidak dilindungi sebagai pekerja yang bermajikan dan terkeluar daripada perlindungan undang-undang buruh. Mereka bagaimanapun perlu dilindungi seperti pekerja lain,” katanya.
Nungsari berkata rang undang-undang itu agak fleksibel dan tidak membebankan atau menyukarkan operasi penyedia platform manakala menteri sumber manusia mempunyai kuasa untuk membuat peraturan menerusi warta, yang akan diselia oleh Jawatankuasa Parlimen berkaitan.
Selain itu, terdapat tribunal yang akan berperanan sebagai platform bagi kedua-dua pekerja dan penyedia platform membawa suara mereka, katanya.
Terdahulu, Menteri Sumber Manusia Steven Sim yang mengesahkan rang undang-undang itu akan dibentangkan untuk bacaan kali kedua esok berkata walaupun terdapat desakan segelintir pihak supaya pembentangan itu ditangguhkan, kerajaan tetap komited meneruskannya demi memastikan kebajikan kira-kira 1.2 juta pekerja gig di negara ini terbela.
RUU Pekerja Gig 2025 dijangka mewajibkan penyedia platform membuat potongan caruman PERKESO daripada setiap transaksi pendapatan pekerja gig, selain menetapkan terma dan syarat yang jelas dalam perjanjian perkhidmatan bagi melindungi hak pekerja.
Pekerja gig ialah individu yang memperoleh pendapatan dengan menyediakan perkhidmatan secara fleksibel, jangka pendek atau berasaskan tugas berbanding pekerjaan sepenuh masa atau tetap tradisional.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial