AM

Etika AI Penting: Penuntut IPT Perlu Bijak Manfaatkan Teknologi

27/08/2025 07:24 PM

SUNGAI PETANI, 27 Ogos (Bernama) -- Etika penggunaan kecerdasan buatan (AI) perlu ditekankan dalam kalangan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) supaya mereka bijak memanfaatkan teknologi itu pada masa hadapan.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) Datuk Azmir Saifuddin Mutalib, berkata teknologi tersebut sedang bergerak dengan pantas dan perlu dikuasai segera agar tidak ketinggalan.

“Kita tidak boleh lari daripada teknologi, terutamanya AI. Ia bergerak terlalu pantas... hari ini mungkin kita rasakan AI belum sempurna, tetapi dalam beberapa hari atau minggu, ia mungkin menjadi sempurna, seakan nyata dan melebihi jangkaan kita.

“Pengetahuan penuntut IPT mengenai AI sangat penting, namun etika dalam penggunaannya juga perlu ditekankan di peringkat pendidikan tinggi supaya mereka menggunakan AI dengan bijak pada masa hadapan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Konvokesyen ke-7 Politeknik Metro Tasek Gelugor di sini, hari ini.

Beliau berkata Finas juga sedang menyediakan pindaan Akta Finas 1981 (Akta 244) bagi menyesuaikan undang-undang sedia ada dengan perkembangan teknologi semasa.

"Kita tidak mahu pengguna ataupun penonton di luar sana dipengaruhi atau tertipu dengan pencipta kandungan yang tidak bertanggungjawab," katanya.

Dalam ucapannya pada majlis tersebut, Azmir menekankan bahawa industri kreatif bukan sahaja membina identiti bangsa tetapi juga menjadi penyumbang besar kepada ekonomi negara.

“Sama ada dalam filem, animasi, muzik, seni reka atau media digital, semua ini membuka peluang pekerjaan baharu dan menjana nilai ekonomi yang besar.

“Graduan hari ini adalah pemimpin masa depan... jadilah pencetus inovasi, pembina solusi, dan penggerak utama industri kreatif negara,” katanya.

Pada majlis konvokesyen itu, seramai 115 graduan Politeknik Metro Tasek Gelugor daripada program Diploma Teknologi Maklumat (Teknologi Digital) dan Diploma Pengajian Video dan Filem diraikan serta menerima diploma masing-masing.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan