KUALA LUMPUR, 27 Ogos (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang merangka solusi tambahan menerusi Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa 2 bagi memperluaskan capaian internet berkelajuan tinggi ke kawasan luar bandar di seluruh negara.
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata inisiatif JENDELA mencatatkan pencapaian memberangsangkan dengan 9.48 juta premis kini tersedia dengan capaian gentian optik, manakala liputan internet di kawasan berpenduduk mencecah 98.82 peratus setakat 31 Julai lepas.
“Kelajuan median muat turun jalur lebar mudah alih merekodkan 150.10 Mbps,” katanya ketika menjawab soalan Senator Datuk Rosni Sohar mengenai inisiatif Malaysia Digital di seluruh negara, termasuk di kawasan pedalaman dan luar bandar pada sesi soal jawab lisan, di Dewan Negara hari ini.
Beliau berkata bagi liputan 5G pula, Digital Nasional Berhad telah menyiapkan 7,489 tapak pemancar, menjadikan 82.4 peratus kawasan berpenduduk kini mendapat akses liputan 5G.
Sementara rangkaian 5G kedua oleh U Mobile Sdn Bhd yang mula beroperasi 14 Julai lepas telah menyiapkan 1,232 tapak dengan langganan melebihi 28 juta pengguna, menjadikan kadar penembusan 5G sebanyak 82.7 peratus bagi setiap 100 penduduk.
Menurut Teo, selaras aspirasi memperkasa infrastruktur komunikasi, kerajaan melalui Rancangan Malaysia Ke-13 menetapkan sasaran 98 peratus liputan 5G di kawasan berpenduduk dan perindustrian termasuk kawasan desa menjelang 2030.
Katanya kerajaan juga melaksanakan penyediaan infrastruktur jalur lebar menggunakan kaedah Point of Presence (PoP) hab gentian optik di mana sehingga 12 Ogos lepas, sebanyak 677 PoP fasa pertama siap sepenuhnya.
Manakala 1,468 PoP daripada 3,693 PoP fasa kedua berjaya disiapkan di seluruh negara, menyediakan 163,906 port gentian optik dengan kelajuan sehingga satu gigabit per saat (1Gbps).
Teo menjelaskan bagi memastikan capaian internet mampu milik, Broadband Commission for Sustainable Development di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menetapkan kos jalur lebar asas bagi negara berpendapatan rendah dan sederhana seharusnya tidak melebihi dua peratus daripada Pendapatan Negara Kasar per kapita bulanan.
“Malaysia mencatat kadar 0.7 peratus bagi jalur lebar mudah alih, jauh lebih rendah daripada sasaran tersebut. Bagi jalur lebar tetap, kadar terkini adalah 2.2 peratus, sedikit melebihi penanda aras global, namun dijangka dapat diturunkan menerusi pelaksanaan pelbagai inisiatif dan strategi harga lebih kompetitif, ” katanya.
Menjawab soalan tambahan Rosni sama ada kementerian bercadang untuk menambah fasiliti Pusat Internet Komuniti yang dijenamakan semula sebagai Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di kawasan miskin bandar, Teo berkata 1,098 daripada 1,099 pusat NADI yang dirancang di bawah aspirasi 1 DUN 1 NADI telah beroperasi sepenuhnya setakat 31 Julai lepas.
“Baki satu NADI baharu sedang dalam fasa pelaksanaan iaitu NADI Kampung Gelam di Sabah kerana terdapat perubahan lokasi, tetapi kita jangka akan beroperasi tidak lama lagi,” katanya.
Teo berkata kementerian juga melaksanakan kempen internet selamat dan kursus kesedaran keselamatan siber selain bekerjasama dengan pelbagai platform seperti Shopee dan Lazada untuk membantu penduduk luar bandar menjadi eUsahawan,” katanya.
Menjawab soalan Senator Datuk Salehuddin Saidin mengenai insentif kepada syarikat telekomunikasi untuk menyediakan jalur lebar di kawasan pedalaman atau kurang komersil, Teo menjelaskan kerajaan menyediakan dana melalui PoP dan JENDELA bagi memastikan kawasan berkenaan mempunyai liputan internet.
“Kami masih memberi insentif kepada penyedia perkhidmatan untuk ke kawasan itu dan 'fibrerise' kawasan tersebut. Kita gunakan sekolah sebagai pusat titik hub dan akan 'fibrerise' kawasan dalam lingkungan 2.5 hingga 3 kilometer bagi memastikan kawasan pedalaman walaupun tiada nilai komersial tetap mempunyai liputan,” katanya.
Beliau berkata menerusi program JENDELA, syarikat penyedia perkhidmatan akan dilantik untuk membina menara komunikasi atau melaksanakan solusi sesuai bagi memastikan liputan internet dapat diperluaskan ke kawasan pedalaman, walaupun jumlah penduduknya kecil.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial