AM

SPRM, MOPI Bakal Anjur Forum Anti Rasuah

26/08/2025 04:27 PM

 

PUTRAJAYA, 26 Ogos (Bernama) – Penganjuran program membabitkan agensi swasta bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ternyata dapat memberi pendidikan dan kesedaran dalam membanteras rasuah di negara ini.

 

SPRM dengan kerjasama Pertubuhan Industri Farmaseutikal Malaysia (MOPI) akan menganjurkan Forum Antirasuah Dalam Pengurusan Perolehan Dan Tatakelola Terbaik Bersama Industri Farmaseutikal.

 

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dato’ Sri Haji Azam Baki berkata, program itu akan menjadi platform penting bagi meningkatkan kesedaran awam mengenai isu rasuah dalam sektor farmaseutikal selain memperkukuh persepsi masyarakat terhadap usaha pencegahan rasuah.

 

“SPRM sentiasa menyokong penganjuran program yang menekankan nilai integriti. Kami akan memastikan kerjasama diberikan sepenuhnya, manakala sektor swasta terlibat dalam usaha ini turut berpeluang mendapat insentif potongan cukai,” katanya ketika menerima kunjungan hormat delegasi MOPI di ibu pejabat SPRM, di sini hari ini.

 

Menurutnya, era media sosial tanpa tapisan memberi cabaran besar kerana masyarakat mudah terpengaruh, justeru program pendidikan antirasuah wajar diperluas oleh pelbagai pihak termasuk agensi luar selain SPRM.

 

Sementara itu, Presiden MOPI, Ch’ng Kien Peng berkata, forum ini akan meningkatkan kesedaran dan integriti warga kerjanya supaya lebih berdisiplin serta mematuhi tatakelola perniagaan.

 

“Inisiatif ini membuktikan komitmen berterusan MOPI dalam memperkukuh tadbir urus syarikat serta menjunjung prinsip antirasuah,” katanya.

 

Forum ini bakal berlangsung pada November ini akan memberi pendedahan mengenai kesalahan rasuah dalam perolehan farmaseutikal, Seksyen 17A Akta SPRM 2009, serta perkongsian kod etika profesional dan undang-undang antirasuah. Ia juga menyasarkan pengurusan syarikat farmaseutikal multinasional, pegawai perubatan, ahli farmasi, jururawat dan pegawai pentadbiran yang terlibat dalam perolehan serta penggunaan ubat-ubatan dan peranti perubatan.

 

Dengan penglibatan kumpulan sasaran ini, penganjuran forum dijangka dapat memperkukuh kesedaran, menggalakkan komunikasi terbuka, serta mempromosi amalan perniagaan yang telus dan beretika dalam industri farmaseutikal negara.

 

Turut hadir Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Datuk Ahmad Nizam Ismail; Timbalan Presiden MOPI, Dato’ Farshila Emran; Pengarah Urusan Pharmaniaga Berhad, Dato’ Zulkifli Jafar serta pegawai-pegawai MOPI.

— BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan