KUALA LUMPUR, 26 Ogos (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan lima kematian akibat kemalangan sepanjang Himpunan RXZ Members 7.0 di Terengganu baru-baru ini, kata Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Seri Yusri Hassan Basri.
Beliau berkata pihak polis menghargai kerjasama penganjur dan peserta sepanjang program itu, namun menasihatkan mereka supaya lebih berhati-hati pada masa akan datang bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
“Pihak penganjur memberi kerjasama yang baik kepada PDRM, khususnya JSPT, dalam memastikan peserta RXZ 7.0 hadir dengan selamat.
“Saya juga berterima kasih kepada semua peserta yang menunjukkan sikap positif dengan mematuhi peraturan, undang-undang dan aspek keselamatan sepanjang program berkenaan,” katanya ketika ditemui pada PDRM Special Dialogue III 2025 di sini, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan beberapa kematian direkodkan akibat kemalangan membabitkan peserta Himpunan RXZ Members 7.0 ketika dalam perjalanan ke acara itu.
Program RXZ 7.0 yang berlangsung di Gong Badak, Kuala Nerus, pada Sabtu lalu, menghimpunkan ribuan pemilik serta peminat motosikal Yamaha RXZ dari seluruh negara, selain menampilkan pelbagai aktiviti komuniti dan pameran dunia permotoran.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial