KUALA LUMPUR, 24 Ogos (Bernama) -- Konvoi Sumud Nusantara iaitu gerakan solidariti beberapa negara termasuk dari ASEAN tiba di Malam Himpunan dan Selawat Malaysiaku Bersama Gaza di Dataran Merdeka di sini yang merupakan kemuncak Karnival Sumud Nusantara 2025.
Ketibaan kumpulan terdiri daripada delegasi Malaysia dari zon utara, timur dan tengah disambut Setiausaha Politik Menteri Kewangan Muhammad Kamil Abdul Munim dan Ketua Pengarah Sumud Nusantara merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman.
Kumpulan hampir seratus peserta itu turut disertai wakil daripada lapan negara antaranya Indonesia, Maldives, Bangladesh dan Pakistan yang mencerminkan keteguhan dalam menentang penindasan berterusan ke atas penduduk Gaza.
Muhammad Kamil berkata konvoi berkenaan bukti suara Malaysia dan beberapa negara yang tidak gentar untuk menyokong usaha membebaskan Palestin daripada terus menjadi mangsa kezaliman Israel.
“Misi ni bukan tujuan untuk berperang tetapi untuk memberikan tekanan dan misi kemanusiaan untuk menolak kekejaman dan pembantaian terhadap penduduk khususnya di Gaza yang masih berterusan sehingga ke hari ini.
“Sudah tentu ada cabaran (yang akan dihadapi konvoi misi) sepertimana yang pernah berlaku pada 2010, tetapi hari ini kita lihat lebih banyak negara antarabangsa turut memberikan tekanan sama (ke atas Israel),” katanya kepada pemberita.
Pelancaran dan pelepasan Konvoi Sumud Nusantara itu akan disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim malam ini.
Sementara itu, Muhammad Nadir berkata konvoi yang disertai lapan negara itu akan bergerak dalam dua kumpulan masing-masing pada 31 Ogos dan 4 Sept ini.
Beliau berkata kumpulan pertama konvoi peringkat ASEAN akan berlepas ke Sepanyol dan satu lagi menuju ke Tunisia sebelum masing-masing menuju Flotilla Global untuk ke Gaza.
“Konvoi ini akan menjadi satu gerakan flotilla paling besar dalam sejarah yang akan melibatkan puluhan buah kapal dan lebih daripada 50 buah negara,” katanya.
Wakil dari Indonesia, Rifa Berliana Arifin memuji inisiatif mengumpulkan konvoi tersebut dan menegaskan usaha seumpama itu wajar mendapat sokongan umat Islam di Nusantara.
Beliau memberitahu selepas peserta negara itu menyertai program di Malaysia, kumpulan lain dari Indonesia akan menyertai Konvoi Flotilla Global ke Gaza.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial