JENAYAH & MAHKAMAH

Tiga Individu Dirakam Keterangan Bantu Siasatan Budak Maut Jatuh Pangsapuri

24/08/2025 07:18 PM

KUALA LUMPUR, 24 Ogos (Bernama) -- Polis telah merakamkan keterangan tiga individu bagi membantu siasatan kes kanak-kanak lelaki berumur tiga tahun yang maut selepas terjatuh dari tingkat enam sebuah pangsapuri di Kota Damansara, Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Shahrulnizam Ja’afar berkata mereka terdiri daripada bapa dan ibu saudara serta rakan ibu mangsa manakala keterangan ibu kanak-kanak itu masih belum diambil berikutan berada di Perak bagi menguruskan pengebumian anaknya.

Beliau berkata selain ibu mangsa, terdapat tiga lagi saksi kejadian yang akan direkodkan keterangan iaitu jiran mereka yang terdengar bunyi terjatuh serta bising.

“Pegawai penyiasat kes masih dalam tindakan melengkapkan siasatan. Kertas siasatan akan dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya setelah semua keterangan dan tindakan selesai diambil,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam kejadian pada 4.42 petang itu, mangsa ditemukan di laluan pejalan kaki oleh orang awam selepas dipercayai terjatuh dari tingkat atas pangsapuri berkenaan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan