AM

Gempa Bumi Segamat: Petronas Gas Sahkan Tiada Kesan Ke Atas Operasi Paip Gas

24/08/2025 05:41 PM

KUALA LUMPUR, 24 Ogos (Bernama) -- Petronas Gas Bhd (PGB) mengesahkan semua infrastruktur dan kemudahan saluran paip gas di kawasan yang dilanda gempa bumi kecil berhampiran Segamat, Johor awal pagi tadi kekal selamat sepenuhnya dan beroperasi seperti biasa.

“Sejurus menerima makluman mengenai gegaran itu, pasukan teknikal dan wilayah kami segera melaksanakan protokol keselamatan standard yang sedia ada bagi menghadapi kejadian seumpama ini di seluruh wilayah selatan,” kata syarikat minyak dan gas itu dalam satu kenyataan hari ini.

Sebagai sebahagian daripada prosedur yang ditetapkan, PGB berkata pemeriksaan telah dijalankan di Stesen Pemampat Segamat, Stesen Kawalan Segamat dan di sepanjang laluan saluran paip yang berkaitan.

Sehubungan itu, tiada sebarang kelainan atau gangguan dikesan katanya.

“Pemantauan secara langsung melalui sistem kawalan penyeliaan dan pemerolehan data (Scada) kami juga mengesahkan tahap tekanan dan parameter operasi kekal stabil,” katanya.

PGB berkata pihaknya mengekalkan komunikasi aktif dengan pihak-pihak berkuasa tempatan yang berkaitan dan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) bagi mendapatkan maklumat terkini secara berterusan.

“Kami akan terus mengutamakan keselamatan orang awam dan operasi kami sambil melaksanakan pemantauan yang rapi dan bersiap sedia untuk bertindak sekiranya keadaan berubah,” tambahnya.

MetMalaysia dalam satu kenyataan berkata berlakunya gegaran gempa bumi lemah bermagnitud 4.1 di Segamat, Johor pada 6.13 pagi tadi dan turut dirasai penduduk di Melaka, Negeri Sembilan dan selatan Pahang.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan