KUALA LUMPUR, 24 Ogos (Bernama) -- Penyertaan kontinjen Malaysia di WorldSkills ASEAN Manila 2025 membuktikan bahawa negara ini kaya dengan tenaga muda dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), yang berani mencabar diri serta bersaing pada peringkat antarabangsa.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata para peserta perlu menjadikan pertandingan itu sebagai peluang untuk membuktikan bahawa anak muda Malaysia dalam bidang TVET memiliki daya saing global, kreativiti, inovasi dan semangat juang yang tinggi.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), turut mengucapkan selamat maju jaya kepada seluruh kontinjen yang terdiri daripada 37 anak muda untuk bertanding dalam 23 bidang kemahiran.
“Insya-Allah, saya yakin anda semua mampu mengulangi kejayaan gemilang yang pernah kita capai, bahkan melakar sejarah baharu buat tanah air tercinta,” katanya dalam hantaran di platform X hari ini.
Ahmad Zahid turut menitipkan nasihat agar para perserta menjaga fokus, mendapatkan rehat yang mencukupi dan memperbanyakkan doa serta menyerahkan segala usaha kepada Allah SWT.
“Kami semua berdiri teguh di belakang kalian, berdoa agar kejayaan dan kecemerlangan sentiasa mengiringi perjuangan di sana. Insya-Allah,” katanya.
WorldSkills ASEAN Manila 2025 yang berlangsung di World Trade Center Metro Manila, Filipina dari 26 hingga 28 Ogos menghimpunkan hampir 300 peserta dari seluruh rantau ASEAN untuk bersaing dalam 32 bidang kemahiran termasuk teknologi, kejuruteraan, reka bentuk, automasi, hospitaliti dan pelbagai lagi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial