Oleh Nursyabiha Sukri
NILAI, 24 Ogos (Bernama) -- Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan (JKNNS) menerusi Bahagian Perkhidmatan Farmasi dengan kerjasama Persatuan Orang Pekak Negeri Sembilan (NESDA) mengambil langkah proaktif membangunkan laman web MyDIDCOM bagi membantu komuniti pekak dan bisu mendapatkan maklumat berkaitan penggunaan ubat-ubatan.
Pegawai Farmasi JKNNS Nur Eizera Herlena Mat Jahaya berkata laman web ini merupakan platform fasa kedua selepas penggunaan aplikasi WhatsApp dengan nombor 012-6580627 (DIDCOM- Drug Information for Deaf Community).
Beliau berkata laman web berkenaan membolehkan pengguna dalam kalangan orang kurang upaya (OKU) itu mengemukakan soalan berkaitan ubat secara terus kepada pegawai farmasi secara sembang langsung.
"Ia termasuk memuat naik gambar ubat dan menerima penjelasan berkaitan dos, cara pengambilan dan kegunaan ubat. Maklum balas diberikan secara segera atau dalam tempoh satu hari bekerja. Selain itu, laman web ini juga mengandungi video penerangan cara pengambilan ubat dalam bahasa isyarat dan istilah perubatan baharu dalam bahasa isyarat (SignHealth)," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata MyDIDCOM dibangunkan pada hujung 2023 oleh pasukan farmasi JKNNS terdiri daripada 10 pegawai, termasuk seorang ahli yang mahir dalam pembangunan laman web.
Nur Eizera berkata 54 pegawai farmasi dari seluruh negeri itu dilatih dalam bahasa isyarat hasil kerjasama dengan NESDA, bagi memastikan komunikasi bersama pengguna laman ini berjalan lancar.
Menurutnya, setakat ini lebih 40 pengguna dalam kalangan OKU pekak telah memanfaatkan platform WhatsApp DIDCOM dan laman web MyDIDCOM .
Beliau berkata bagi memastikan capaian lebih meluas, promosi turut dijalankan menerusi platform media sosial Persatuan Orang Pekak serta hebahan dalaman jabatan farmasi di seluruh negeri.
Platform berkenaan kini dibuka kepada semua golongan pekak di seluruh negara yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai ubat-ubatan dengan melayari MyDIDCOM.com
Beliau berkata, pihaknya turut meraih pengiktirafan di peringkat antarabangsa apabila projek inovasi Bridge-D'Gap: Bridging Diversity and Gaps in Access to Patient Care sebagai satu daripada projek digital terbaik dunia dalam World Summit on the Information Society (WSIS) Prizes 2025 pada Julai lepas di Geneva, Switzerland anjuran Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU), iaitu sebuah agensi khusus di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Menurut beliau, projek berkenaan menampilkan pendekatan unik dalam merapatkan jurang akses terhadap penjagaan kesihatan, khususnya bagi golongan OKU pekak.
Dalam pada itu, Nur Eizera berkata pihaknya juga menggunakan platform Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Negeri Sembilan untuk menguar-uarkan kepada orang ramai tentang laman web tersebut.
Melalui PMR, pendekatan berasaskan teknologi seperti MyDIDCOM bukan sahaja memperluas akses kesihatan kepada rakyat, malah selari dengan aspirasi Malaysia MADANI menekankan nilai keterangkuman, keprihatinan dan kesejahteraan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial