KOTA BELUD, 23 Ogos (Bernama) -- Komuniti luar bandar wajar memanfaatkan gerakan koperasi sebagai pemacu pembangunan ekonomi melalui sektor pelancongan dan pertanian, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick.
Beliau berkata koperasi ialah platform terbaik untuk menggerakkan keusahawanan desa, selain membolehkan komuniti setempat bersaing dengan syarikat besar menerusi sokongan, bantuan dan galakan kerajaan.
"Kita mempunyai lebih 16,000 koperasi di seluruh negara, termasuk hampir 2,000 koperasi di Sabah, dengan enam daripadanya tersenarai dalam Liga Premier Koperasi.
"Ini membuktikan koperasi di Sabah juga mampu bersaing jika diberi peluang dan sokongan sewajarnya," katanya dalam kenyataan selepas merasmikan sambutan Hari Keluarga dan Projek Pembangunan Koperasi Pelancongan Tagal Kampung Lingkubang Kota Belud Berhad di sini hari ini.
Menurut Ewon, selepas dilantik sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, beliau mengunjungi koperasi berkenaan dan meluluskan peruntukan berjumlah RM100,000 untuk pelbagai pembangunan.
"Sebanyak RM80,000 disalurkan melalui bantuan Sektor Peneraju Ekonomi Koperasi (PROSPEK) bagi menaik taraf jambatan titian, membina laluan pejalan kaki konkrit dan pintu gerbang koperasi.
"Sejumlah RM20,000 di bawah Program Dagang Produk/Perkhidmatan Koperasi Atas Talian (e-Dapat) digunakan bagi penyediaan laman e-dagang dan bahan promosi produk pelancongan koperasi secara digital," katanya.
Beliau turut memuji usaha Koperasi Pelancongan Tagal Kampung Lingkubang yang mengetengahkan aktiviti riadah sungai dan pemuliharaan ikan berasaskan tagal sebagai tarikan utama pelancongan komuniti.
"Saya berbangga dengan inisiatif penduduk kampung ini menggerakkan keusahawanan desa dan membangunkan potensi ekonomi melalui koperasi. Saya berharap koperasi ini terus maju dan menjadi inspirasi kepada koperasi lain," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata kementeriannya melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) telah memperkenalkan program Jejak Koperasi sebagai persediaan memperkukuh koperasi sektor pelancongan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
"Di Kadamaian, kita memberikan tumpuan kepada sektor pelancongan dan pertanian agar kawasan ini dikenali sebagai destinasi pelancongan utama selain Ranau. Sebahagian Gunung Kinabalu terletak di Kadamaian dan kita mahu pelancong yang mendakinya singgah di sini," katanya.
Ewon, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian berkata pelbagai projek infrastruktur sedang dinaik taraf sebagai sebahagian daripada agenda pembangunan pelancongan Kadamaian, termasuk Jalan Sayap, Jalan Podos, jambatan Melangkap dan beberapa laluan utama lain.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial