KUALA LUMPUR, 23 Ogos (Bernama) -- Persekutuan Seni Silat Cekak Pusaka Ustaz Hanafi Malaysia melancarkan Kempen SEDAR@ANTI BULI hari ini, dalam usaha membendung budaya buli dalam kalangan masyarakat.
Presiden merangkap pewaris mutlak Silat Cekak Pusaka Ustaz Hanafi, Dr Md Radzi Hanafi berkata kempen bertemakan "Pusaka Hanafi Benci Buli" itu akan digerakkan di pusat pengajiannya.
“Silat bukan sahaja seni pertahanan diri, tetapi juga mampu membentuk sahsiah diri yang tinggi, disiplin, keberanian dan bertanggungjawab. Silat juga lambang warisan budaya, selain membentuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis Himpunan MADANI Sempena Sambutan Bulan Kemerdekaan dan Hari Tenaga Pengajar Silat Cekak Pusaka Hanafi 1447 Hijrah di sini hari ini, yang dirasmikan oleh Setiausaha Politik Menteri Kewangan Muhammad Kamil Abdul Munim.
Kempen SEDAR@ANTI BULI ialah inisiatif Silat Cekak Pusaka Hanafi untuk mendidik ahli, khususnya generasi muda agar mempunyai disiplin dan akhlak mulia melalui silat.
Kempen itu juga merupakan usaha berterusan mereka dalam membina masyarakat lebih aman, harmoni dan bebas daripada budaya buli, selaras dengan matlamat Malaysia MADANI.
Sementara itu, Muhammad Kamil dalam ucapannya berkata kesedaran mengenai perlakuan buli perlu diwujudkan secara menyeluruh dan pihak sekolah serta institusi pengajian tinggi harus memperkemas kesedaran berhubung perbuatan yang boleh memudaratkan itu.
“Saban hari kita mendengar kejadian buli yang bukan sekadar di sekolah, universiti dan pejabat, (tetapi juga di) ruang awam, persatuan, syarikat mahupun organisasi. Budaya atau amalan membuli ini berlaku, maka kesedaran harus diwujudkan.
“Kesedaran yang kita cuba wujudkan ini juga untuk membina keberanian dan kekuatan serta harus ditanam dalam setiap diri dan jiwa anak-anak,” katanya.
Majlis itu turut menyaksikan 500 tenaga pengajar Silat Cekak Pusaka Hanafi menyertai Himpunan MADANI dengan mengibarkan Jalur Gemilang bagi menzahirkan semangat patriotisme mereka.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial