AYER KEROH, 22 Ogos (Bernama) -- Universiti memainkan peranan penting untuk melahirkan generasi berintegriti, berpendidikan tinggi yang bukan sekadar mengenggam ijazah, sebaliknya menjadi insan berguna kepada pembangunan negara.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, setiap mahasiswa perlu diterapkan dengan ilmu-ilmu integriti sebelum melangkah ke alam pekerjaan.
“Justeru, mahasiswa yang dibentuk dengan nilai ini akan menjadi pemimpin masa depan yang bebas daripada rasuah, salah guna kuasa, penyelewengan dan dapat meningkatkan tatakelola governans yang baik bagi kemakmuran dan kemajuan sesebuah negara sekali gus memberi kesan langsung kepada kesejahteraan rakyat,” katanya ketika merasmikan Simposium Jaringan Antirasuah dan Tadbir Urus Integriti (SEJATI), Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) 2025 di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) di sini, hari ini.
Menurutnya, kunci kepada kejayaan melahirkan generasi yang berintegriti adalah terletak pada warga universiti sendiri, khususnya golongan akademik selain peranan pensyarah serta warga pendidik di universiti yang perlu menjadi teladan terbaik.
Selain itu, Azam juga turut menyarankan insitusi pendidikan dapat menguruskan konflik kepentingan secara telus dan tidak membuat keputusan yang boleh menimbulkan syak atau mengugat kepercayaan masyarakat terhadap institusi.
"Pengisytiharan kepentingan adalah langkah pencegahan paling asas yang mesti diamalkan. Universiti juga berhadapan dengan isu integriti akademik yang lazimnya merujuk sebagai kejujuran dalam penyelidikan, amanah dalam menguruskan dana-dana penyelidikan, ketelusan dalam penilaian, keaslian penulisan, tatakelakuan yang mencerminkan kesarjanaan ilmu dan keikhlasan menyampaikan ilmu adalah asas yang tidak boleh dikompromi," katanya.
Sementara itu, Naib Canselor UTeM merangkap Pengerusi Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN), Profesor Datuk Ts. Dr. Massila Kamalrudin berkata, SEJATI MTUN 2025 bukan sahaja meraikan wacana ilmu, malah mengajak berpegang pada nilai yang menjadi benteng jati diri bangsa.
“Kita semua memikul amanah dan tanggungjawab besar untuk menjunjung nilai integriti, ketelusan dan akauntabiliti dalam setiap tindakan. Tanpa integriti, segala dasar dan undang-undang hanya tinggal tulisan di atas kertas.
"Tanggungjawab universiti bukan sekadar mengasah minda mahasiswa, tetapi membentuk jiwa yang tegar menolak kebatilan.
“Melalui SEJATI MTUN 2025, UTeM dan MTUN secara keseluruhannya meneguhkan kedudukan sebagai model universiti berintegriti yang komited melahirkan graduan berkemahiran tinggi, beretika profesional serta tegas menolak rasuah dalam kerjaya dan kehidupan,” katanya.
Lebih 3,000 peserta terdiri daripada warga universiti, wakil agensi kerajaan, industri serta pelajar menyertai simposium ini. Turut diadakan pemeteraian Surat Niat (LoI) antara SPRM dan MTUN, peluncuran Polisi Pemberian dan Penerimaan Hadiah, Tajaan & Keraian MTUN, serta pra-peluncuran Kor Sukarelawan Antirasuah (Kor SUAR) MTUN.
— BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial