KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) -- United Overseas Bank (Malaysia) Bhd (UOB Malaysia) menyokong FMM House Sdn Bhd dalam melancarkan Program Nota Jangka Sederhana (MTN) Hijau ASEAN bernilai RM3 bilion, satu inisiatif yang bertujuan untuk memajukan pembangunan mampan dalam infrastruktur logistik Malaysia.
Bank itu berperanan sebagai penasihat utama, pengatur utama, pengurus utama dan ejen kemudahan untuk program itu, mengukuhkan komitmennya terhadap pembiayaan hijau dan inovasi dalam pasaran modal.
Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia Ng Wei Wei berkata ia menandakan projek hab logistik hijau kedua bank itu di Selangor berikutan sokongan awalnya untuk Global Vision Logistics, pembangunan logistik pensijilan hijau pertama di Malaysia dan salah satu yang terbesar di ASEAN.
Beliau berkata inisiatif itu dibina atas usaha berterusan UOB Malaysia untuk berinovasi dan membangunkan penyelesaian berkesan yang membantu pelanggan menjalankan kerja-kerja menyahkarbon.
“Melalui Rangka Kerja Kewangan Mampan kami, kami kekal fokus pada membolehkan perniagaan menerima pakai amalan bertanggungjawab dan peralihan ke arah infrastruktur rendah karbon, bersedia untuk masa hadapan,” kata Ng dalam satu kenyataan hari ini.
UOB Malaysia berkata hasil daripada siri terbitan di bawah Bahagian 1 Program MTN Hijau ASEAN untuk tempoh 15 tahun dan jumlah saiz terbitan sehingga RM630 juta akan digunakan untuk membangunkan tiga hab logistik hijau FMM di Pulau Indah, Klang, Selangor.
Program MTN Hijau ASEAN membolehkan penerbitan pelbagai bahagian untuk menyokong projek infrastruktur logistik layak FMM House yang akan datang.
"Program ini merupakan peristiwa penting dalam perjalanan kami untuk mentakrifkan semula infrastruktur logistik melalui automasi dan kemampanan. Dengan sokongan UOB Malaysia, kami yakin dapat menyampaikan pembangunan berimpak tinggi memenuhi piawaian hijau global dan memacu nilai jangka panjang untuk pemegang kepentingan kami," kata Pengarah FMM House Tan Sri Teo Chiang Hong.
Pembangunan logistik FMM House di Pulau Indah akan bercirikan sistem penyimpanan gudang automatik dengan keluasan lantai kasar gabungan kira-kira 1.67 juta kaki persegi dan kapasiti penyimpanan sekitar 218,000 palet.
Pembangunan itu merangkumi kemudahan bilik ambien dan sejuk dan telah mencapai Status Emas pra-perakuan di bawah Kepimpinan dalam Reka Bentuk Tenaga dan Alam Sekitar (LEED), penarafan bangunan hijau yang diiktiraf di peringkat global.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial