SEPANG, 20 Ogos (Bernama) -- Melantik, melatih serta menempatkan Rakan Digital dari kalangan masyarakat Orang Asli adalah langkah paling berkesan bagi memastikan pembangunan infrastruktur Internet baharu memberi kesan kepada keterangkuman digital dan peningkatan sosioekonomi masyarakat itu.
Pensyarah Kanan Sekolah Perniagaan Siswazah Arshad Ayub Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dr Hamidah Md Yusop berkata Rakan Digital daripada komuniti itu sendiri lebih sesuai dilatih kerana mereka memahami budaya, bahasa dan keperluan masyarakat Orang Asli.
Hamidah berkata majoriti masyarakat Orang Asli menyambut baik kemudahan Internet, namun beberapa kekangan dikenal pasti termasuk masalah gangguan perkhidmatan, kesukaran menghubungi talian khidmat pelanggan serta cabaran menetapkan kata laluan sambungan Internet.
“Bagi mengatasi kelemahan ini, kita cadangkan penempatan Rakan Digital daripada kalangan Orang Asli sendiri sebagai individu rujukan untuk membantu komuniti setempat, sama ada dalam aspek pendidikan, perniagaan atau penggunaan asas Internet,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membentangkan hasil kajian Analisis Impak Perkhidmatan Internet Jalur Lebar Tanpa Wayar Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi Masyarakat Orang Asli dan Luar Bandar pada Simposium Penyelidikan MCMC 2025 di sini hari ini.
Hamidah berkata kajian itu dijalankan pada September 2022 di tujuh perkampungan Orang Asli di Johor, Kelantan, Perak dan Pahang dengan melibatkan 189 responden.
Beliau berkata pendekatan itu juga membolehkan pemerkasaan kandungan dan komunikasi dalam bahasa ibunda masyarakat Orang Asli, sekali gus memudahkan penyampaian mesej dengan lebih berkesan.
“Walaupun terdapat pusat Internet komuniti NADI (Pusat Sebaran Maklumat Nasional), pendekatan lebih peribadi ini dipercayai diperlukan untuk membimbing penduduk,” katanya.
Mengulas lanjut dapatan kajian, Hamidah berkata masalah yang dihadapi berkaitan penggunaan Internet tidak menghalang segelintir masyarakat Orang Asli khususnya golongan muda untuk membudayakan keusahawanan dalam talian bagi mengetengahkan keunikan produk mereka.
“Jika kita dapat mengenal pasti mereka, kita boleh mencadangkan kepada kerajaan supaya diwujudkan skim mikrogeran untuk menyokong individu yang berpotensi menjalankan perniagaan bagi meningkatkan ekonomi keluarga,” katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan aktiviti perancangan bersama antara pihak berkepentingan bagi merangka dasar jelas dan insentif berkesan untuk masyarakat Orang Asli, termasuk bantuan kewangan atau pemberian peranti bersubsidi.
Katanya, kejayaan agenda keterangkuman digital negara seperti digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 dan inisiatif Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) dijadualkan berakhir tahun ini adalah bergantung kepada pelaksanaan inisiatif kerajaan yang teliti serta berkesan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial