AM

Belanjawan 2026: LKIM Harap Ada Peruntukan Untuk Baik Pulih Kompleks Pendaratan Ikan Rosak

18/08/2025 02:50 PM

GEORGE TOWN, 18 Ogos (Bernama) -- Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) berharap kerajaan memberikan peruntukan menerusi Belanjawan 2026 yang akan dibentangkan pada Oktober bagi membaik pulih kompleks dan fasiliti pendaratan ikan yang rosak di seluruh negara.

Pengerusi LKIM Muhammad Faiz Fadzil berkata pihaknya telah mengenal pasti lebih 10 kompleks pendaratan ikan yang memerlukan pembaikan kerana telah usang antaranya di Chendering, Kemaman dan Dungun di Terengganu, Kota Tinggi di Johor serta Lumut di Perak.

"Paling penting saya mahu belanjawan yang lebih kepada pemulihan kompleks-kompleks pendaratan ikan kerana kebanyakan fasiliti berkenaan sudah usang, jadi kita buat kajian yang mana perlu supaya ia dapat dibaik pulih pada tahun depan.

"Jumlah peruntukan diperlukan bagi membaiki kompleks pendaratan ikan yang usang masih di peringkat kajian Jabatan Kerja Raya, jadi kita harap ia dapat disenaraikan dalam Belanjawan 2026 nanti," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan kepada nelayan sempena Program Rahmah Mesra MADANI Pengerusi LKIM bersama nelayan Pulau Pinang di Kompleks Pendaratan Ikan Jelutong di sini hari ini.

Beliau turut berharap kerajaan dapat meneruskan inisiatif dan bantuan yang telah diberikan kepada nelayan bagi memastikan kebajikan mereka terus terbela, sekali gus mendorong mereka lebih produktif dalam meningkatkan hasil tangkapan.

Muhammad Faiz berharap Belanjawan 2026 yang akan dibentang Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan meneruskan subsidi minyak sebanyak RM1.6 bilion yang disalurkan pada tahun ini, projek perumahan nelayan dan pemulihan kompleks serta fasiliti pendaratan ikan yang telah usang di seluruh negara.

Mengulas mengenai permintaan nelayan yang mahu kerajaan mencari jalan terbaik untuk memberikan pengecualian duti import ke atas peralatan seperti pukat dan peralatan menangkap ikan, beliau berkata sebarang pelarasan memerlukan pertimbangan teliti di peringkat kementerian dan Kabinet.

“Ada keperluan untuk semakan semula duti import dalam Belanjawan 2026 untuk membantu memastikan kemampanan dan kestabilan kewangan industri. Walaupun duti import merupakan sumber pendapatan penting bagi kerajaan, perbincangan mengenai pengecualian masih berterusan,” katanya.

Baru-baru ini, kerajaan mengenakan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) ke atas pelbagai bahan akuakultur, menimbulkan kebimbangan dalam sektor itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan