ALOR SETAR, 17 Ogos (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah menahan seorang wanita warga Thailand dipercayai cuba menyeludup minyak diesel menggunakan kenderaan bernombor pendaftaran Malaysia di sebuah stesen minyak di Kuala Nerang semalam.
Pengarah KPDN Kedah Muhammad Nizam Jamaludin berkata penahanan wanita berusia 40-an itu dilakukan hasil aduan orang awam dan risikan anggota penguat kuasa KPDN Alor Setar.
“Ketika pemantauan awal, didapati sebuah kenderaan jenis pikap sedang membuat pengisian minyak diesel sebelum bergerak ke belakang stesen minyak itu. Didapati pemilik kenderaan telah menukarkan nombor pendaftaran tempatan disyaki palsu, kepada nombor pendaftaran asing setelah selesai mengisi minyak.
“Hasil pemeriksaan lanjut menemukan sejumlah minyak disyaki diesel yang disimpan di dalam tangki yang telah diubah suai,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Beliau berkata pemeriksaan lanjut ke atas stesen minyak mendapati premis itu telah menjual 273 liter minyak diesel dalam satu transaksi kepada kenderaan suspek, sekali gus melanggar Arahan Pengawal Bekalan berhubung had penjualan kepada kenderaan berpendaftaran tempatan dalam satu hari.
“Minyak diesel yang dianggarkan bernilai hampir RM800, sebuah pikap, resit belian dan dokumen turut disita untuk siasatan lanjut. Jumlah sitaan keseluruhan dianggarkan lebih RM30,790.
“Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial