AM

Jangan Campur Aduk Isu Undang-Undang Dan Politik - Ahmad Zahid

17/08/2025 04:46 PM

PASIR SALAK, 17 Ogos (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menasihatkan pemimpin parti politik agar membezakan antara isu perundangan dan politik demi mengekalkan keharmonian dalam Kerajaan Perpaduan.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, tindakan undang-undang perlu diambil terhadap sebarang pelanggaran, manakala isu politik wajar diselesaikan melalui saluran politik yang sewajarnya.

“Kita tidak mahu sesuatu peristiwa memaksa keputusan politik dibuat kerana ini boleh menggugat kesepaduan 18 parti dalam Kerajaan MADANI. Pada hemat saya, kita mesti mengasingkan soal perundangan dan politik,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Santunan Desa Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Negeri Perak Bersama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan Komuniti KEMAS di Dewan Besar Bandar Baru Felcra Seberang Perak.

Selain itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Basional Nasional (BN) menasihati semua pihak supaya mematuhi keputusan parti untuk mengekalkan toleransi antara parti komponen.

"Jangan hanya cuba mempopularkan sesuatu isu atau mahu menjadi individu yang paling popular, sehingga menjejaskan hubungan baik antara pemimpin parti dan akar umbi," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan