PASIR SALAK, 17 Ogos (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan harapan agar cadangan penyerapan petugas kontrak Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) ke jawatan tetap dapat dimasukkan dalam Belanjawan 2026.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata cadangan berkenaan kini di peringkat perbincangan dan sekiranya dilaksanakan, ia tidak melibatkan perjawatan baharu atau sebarang perbelanjaan tambahan.
"Jika ini dilaksanakan ia boleh dijadikan sebagai satu penanda aras untuk lain-lain jawatan kontrak yang akan menjadi jawatan tetap tanpa berpencen.
"Kita telah minta supaya secepat mungkin (pelaksanaan rancangan itu), jika ia memberikan faedah dan tidak menimbulkan polemik, sebaik-baiknya dimasukkan di dalam Belanjawan 2026," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu, Ahmad Zahid merasmikan Program Santunan Desa KEMAS Negeri Perak Bersama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan Komuniti KEMAS di Dewan Besar Bandar Baru Felcra Seberang Perak.
Turut hadir Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang, Pegawai Khas Menteri Besar Perak bagi Dewan Undangan Negeri Kampung Gajah Khairul Azwan Harun yang juga Pengerusi Komuniti KEMAS Parlimen Pasir Salak serta Ketua Pengarah KEMAS Datuk Mohd Hanafiah Man.
Pada 27 Feb lepas, Mohd Hanafiah berkata pihaknya dalam proses membawa cadangan ke Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk menyerap kira-kira 15,600 petugas kontrak di seluruh negara kepada jawatan tetap.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial