EKONOMI

BNM Kekal Unjuran KDNK 2025 Pada 4.0-4.8 Peratus Ketika Ketidakpastian Rundingan Tarif

15/08/2025 05:48 PM

KUALA LUMPUR, 15 Ogos (Bernama) -- Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi 2025 antara 4.0 peratus hingga 4.8 peratus, dengan mempertimbangkan pelbagai kemungkinan daripada rundingan tarif.

Gabenor BNM Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata bank pusat telah memberikan jangkaan tarif antara 25 peratus hingga 30 peratus ketika rundingan tarif dengan Amerika Syarikat (AS).

"Tidak perlu untuk kami menyemak semula angka pertumbuhan ini. Dari segi keseimbangan pertumbuhan risiko dan keuntungan, selesainya rundingan ini meredakan ketidakpastian.

“Bagaimanapun, masih ada ketidakpastian yang berlarutan. Sebagai contoh, dari segi tarif sektoral dan perkembangan perbincangan serta rundingan dengan beberapa negara yang masih belum dimuktamadkan," katanya kepada pemberita selepas mengumumkan pertumbuhan ekonomi suku kedua Malaysia di sini hari ini.

Pada awal bulan ini, AS mengenakan pengurangan tarif sebanyak 19 peratus ke atas import Malaysia berkuat kuasa 1 Ogos 2025. Kadar timbal balas yang disemak ini adalah lebih rendah berbanding 25 peratus yang dijadualkan sebelumnya.

Menurut kenyataan White House pada 31 Julai, perubahan tarif akan dikenakan ke atas barangan yang dibawa masuk untuk kegunaan atau dikeluarkan dari gudang untuk kegunaan bermula 12.01 pagi Waktu Siang Timur Amerika (EDT) tujuh hari selepas tarikh pesanan.

Abdul Rasheed berkata pada masa ini Malaysia berada dalam persekitaran yang tidak menentu, dengan perubahan yang berlaku dengan pantas.

“Dalam persekitaran seperti ini, membuat unjuran adalah mencabar. Itulah sebabnya kami memerlukan andaian yang cukup kukuh untuk kami menganggarkan kadar pertumbuhan yang mungkin berlaku untuk negara. Oleh itu, julat 4.0 peratus hingga 4.8 peratus mungkin mencerminkan kemungkinan itu,” katanya.

Mengenai Kadar Dasar Semalaman (OPR), Abdul Rasheed berkata OPR dikurangkan kepada 2.75 peratus pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) pada Julai 2025 sebagai langkah awal yang bertujuan mengekalkan laluan pertumbuhan stabil Malaysia dalam keadaan prospek inflasi yang sederhana.

Beliau berkata BNM kemudiannya mengesan situasi yang lebih jelas dalam persekitaran luaran terutamanya mengenai hasil rundingan tarif baru-baru ini termasuk kepada Malaysia.

“Dalam hal ini, penurunan OPR baru-baru ini akan menyediakan rangsangan tambahan kepada pertumbuhan dalam negara dalam keadaan prospek inflasi yang sederhana, dan kami akan terus memantau kesannya,” kata Abdul Rasheed sambil memaklumkan ekonomi Malaysia kekal kukuh.

Beliau berkata eksport dijangka sederhana pada separuh kedua 2025 berikutan persekitaran luaran yang mencabar, tetapi sebahagiannya akan disokong oleh sektor elektrik dan elektronik dan pelancongan.

“Kami telah melihat aktiviti yang dilakukan lebih awal pada suku pertama dan kedua tahun ini, tetapi kami mendapati ia mula perlahan.

“Pada Jun, kami menyaksikan sedikit penyusutan dalam aktiviti yang dilakukan lebih awal dan kerana itulah kami menjangka bagi separuh kedua tahun ini, eksport akan menjadi lebih sederhana disebabkan aktiviti yang dilakukan lebih awal, akan berkurangan. Selain itu, impak tarif pada masa ini mula memberi kesan,” kata Abdul Rasheed.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan