PUTRAJAYA, 14 Ogos (Bernama) -- Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 8(2) (SKPP 8(2)) mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya menghasilkan seni capan Jalur Gemilang terbesar negara, hasil sentuhan kreatif murid berkeperluan khas yang mendapat peingiktirafan Malaysia Book of Records (MBR).
Seni capan berukuran 8.13 meter lebar dan 3.56 meter tinggi itu dihasilkan 120 murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dengan bimbingan 27 guru pendidikan khas serta pentadbir sekolah, yang mengambil masa dua minggu untuk disiapkan.
Guru Besar SKPP 8(2) Zamzuriah Md Desa berkata idea menghasilkan Jalur Gemilang berbentuk kanvas gergasi itu tercetus sebagai wadah untuk menghargai bakat murid PPKI selain menyemai rasa cinta akan negara.
“Ini juga melahirkan rasa cinta akan negara dalam diri murid-murid ini yang sepatutnya kita tanam sejak di bangku sekolah lagi,” katanya kepada pemberita selepas majlis pengiktirafan MBR di sini hari ini.
Zamzuriah berkata projek berkenaan turut menyerlahkan kecekalan guru pendidikan khas yang dianggap sebagai ‘wira tidak didendang’ dalam membimbing pelajar istimewa hingga mampu berkarya dan menyumbang kepada masyarakat.
“Inilah kehebatan yang ada pada para guru pendidikan khas. Mereka dilatih untuk mengajar, membimbing dan membantu murid pendidikan khas dalam segala pendidikan yang ada baik formal mahupun informal.
“Pengorbanan ‘wira negara’ kita iaitu guru pendidikan khas inilah yang menghasilkan murid berinspirasi dan inovatif dalam apa-apa sahaja bentuk,” katanya.
Capan Jalur Gemilang itu yang dipamerkan di Dewan SKPP 8(2) hari ini turut dirasmikan oleh Pegawai Khas kepada Setiausaha Politik Perdana Menteri Muhammad Fikri Khalid@Aziz sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial