KUALA LUMPUR, 12 Ogos (Bernama) -- Inisiatif Friends of Ministry (FOM) menjadi jambatan penting bagi memastikan dasar serta aspirasi Malaysia MADANI sampai ke akar umbi, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Beliau berkata program yang dicadangkan oleh Kelab Penyokong Kerajaan MADANI (BBC) itu bertujuan mengukuhkan jaringan kerjasama strategik antara kementerian dan Ahli Parlimen.
“Melalui kerjasama ini, kita bukan sahaja berkongsi maklumat tetapi juga mendengar denyut nadi rakyat secara terus,” katanya menerusi hantaran di Facebook selepas menyampaikan Watikah Pelantikan FOM Kementerian Kerja Raya (KKR) di Parlimen, hari ini.
Majlis itu dihadiri Ahli Parlimen Paya Besar Datuk Mohd Shahar Abdullah merangkap Pengerusi BBC serta beberapa Ahli Parlimen.
Nanta berkata antara objektif penubuhan FOM memberikan input dan pandangan kepada kementerian, menyokong dasar dan usul, menyokong pembangunan dan pelaksanaan dasar kementerian serta meningkatkan jalinan komunikasi di segenap peringkat.
Beliau turut berkongsi perkembangan inisiatif KKR dengan FOM, antaranya Projek Lebuhraya Pan Borneo di Sabah dan Sarawak, Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) dan Lebuhraya Trans Borneo serta peningkatan kesalinghubungan seperti Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (LTU) Bentong-Kuala Krai.
“Saya percaya, dengan semangat kerjasama erat antara KKR, Ahli Parlimen, dan semua pihak berkepentingan, kita mampu memacu pembangunan infrastruktur negara yang lebih berkualiti, selamat, mampan dan memberi manfaat menyeluruh kepada rakyat,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial