PUTRAJAYA, 12 Ogos (Bernama) -- Ketua Penasihat Bangladesh Prof Dr Muhammad Yunus menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan mengucapkan terima kasih kepada Malaysia atas sokongan berterusan serta layanan mesra terhadap pekerja negara itu.
Beliau berkata Malaysia menganggap perkerja Bangladesh umpama rakan sekali gus membantu mereka meningkatkan taraf hidup, menyara ahli keluarga di tanah air dan menghantar anak-anak ke sekolah.
“Pekerja Bangladesh menerima layanan yang sangat baik di sini, umpama rakan dan sebagai sebahagian daripada keluarga.
“Justeru, kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Malaysia kerana menerima rakyat kami, dan berharap pintu ini akan terus terbuka malah lebih luas … supaya lebih banyak belia Bangladesh dapat bekerja di Malaysia, serta belajar dan membawa pulang ilmu untuk memulakan perniagaan atau menjana aktiviti ekonomi sendiri,” katanya.
Muhammad Yunus berkata demikian pada sidang media bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersempena dengan lawatan rasmi tiga hari beliau ke Malaysia yang bermula semalam.
Penerima Hadiah Keamanan Nobel itu berkata kerjasama berkenaan memberi manfaat bersama untuk jangka panjang.
Pada Februari 2025, Menteri Sumber Manusia Steven Sim memaklumkan rakyat Bangladesh merupakan kumpulan terbesar pekerja asing di Malaysia, iaitu kira-kira 898,970 orang.
Sementara itu, Anwar mengiktiraf sumbangan besar pekerja Bangladesh terhadap pembangunan negara sekali gus menegaskan komitmen Malaysia untuk memperkukuh hubungan melalui dasar inklusif.
“Oleh itu, Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail) dan Menteri Sumber Manusia telah bersetuju untuk menyediakan kemudahan Visa Berulang Kali bagi membantu pekerja supaya mereka dapat pulang melawat keluarga dengan berasa selamat terhadap pekerjaan mereka,” katanya.
Kementerian Dalam Negeri baru-baru ini, mengumumkan kemudahan Visa Berulang Kali (MEV) untuk pekerja dari Bangladesh berkuat kuasa 8 Ogos.
Di bawah kemudahan itu, pekerja asing dari negara berkenaan yang memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dan Visa Sekali Masuk (SEV) yang sah pada tahun semasa tidak perlu membuat permohonan MEV secara berasingan.
Pemberian kemudahan MEV itu mencerminkan komitmen Malaysia untuk mengukuhkan hubungan dua hala dengan Bangladesh, khususnya dalam aspek kerjasama buruh yang beretika dan berperaturan.
Langkah itu juga memperlihatkan kesediaan Malaysia untuk mempertingkatkan kemudahan dan perlindungan hak pekerja asing yang sah selaras dengan undang-undang perburuhan dan amalan antarabangsa.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial