CYBERJAYA, 8 Ogos (Bernama) -- ASEAN telah membuktikan keupayaannya untuk bertindak dengan tegas di bawah Kepengerusian Malaysia pada masa ini, kata Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.
Merujuk kepada usaha menyelesaikan pertikaian sempadan antara Thailand dengan Kemboja, beliau berkata inisiatif berani oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu telah membawa kejayaan kepada persetujuan gencatan senjata dan rancangan penempatan pasukan pemantau sementara.
"Apabila ketegangan memuncak di negara jiran, Malaysia selaku Pengerusi ASEAN telah mengadakan pertemuan dengan kedua-dua pihak di Putrajaya dan membantu memeterai perjanjian gencatan senjata yang kini sedang dilaksanakan, dipantau dan disokong oleh ASEAN.
"Terima kasih Perdana Menteri atas inisiatif berani anda mempertemukan kedua-dua pemimpin Thailand dan Kemboja," katanya pada sambutan Hari ASEAN ke-58 yang dirasmikan oleh Anwar di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Mohamad berkata Thailand dan Kemboja bersetuju dengan syarat gencatan senjata dan pasukan pemantau sementara akan dibentuk.
"Perkara ini lebih sekadar usaha diplomatik, ia bukti kemampuan ASEAN untuk bertindak dan nilainya sebagai sebuah platform," katanya.
Mengenai Myanmar, Mohamad berkata ASEAN telah meneruskan pengurusan krisis yang berprinsip dan praktikal, merangkumi penglibatan kemanusiaan dan gesaan supaya gencatan senjata diperluas, serta cadangan pelantikan Duta Khas untuk mengendalikan krisis yang berpanjangan itu.
"Kami memberikan tumpuan kepada memulihkan kredibiliti Konsensus Lima Perkara dan menyokong rakyat Myanmar pada saat yang diperlukan," katanya.
Beliau berkata sejak lebih 58 tahun lepas, dengan setiap penambahan negara anggota dan rakan dialog baharu, ASEAN telah berkembang menjadi satu organisasi yang tiada tandingan, menetapkan standard baharu bagi kepelbagaian dalam tadbir urus global.
Bagi Malaysia, beliau berkata ASEAN sentiasa menjadi pusat kepada penglibatan rantau ini dengan dunia, berlandaskan konsensus dan matlamat bersama serta komited membina Asia Tenggara yang inklusif dan mampan.
"Ketika kita menuju ke tempoh separuh kedua Kepengerusian ini, saya berbangga melihat ASEAN menyesuaikan diri dengan cabaran masa kini.
"Visi Komuniti ASEAN 2045 – pelan tindakan bersama untuk 20 tahun akan datang – menetapkan hala tuju ke arah rantau yang lebih berdaya tahan, berdaya cipta dan berpaksikan rakyat," katanya.
Mengenai pembentukan ASEAN, Mohamad berkata dunia pada 1960-an berada dalam keadaan rapuh oleh persaingan kuasa besar.
Beliau berkata di tengah-tengah persaingan kuasa besar ini, negeri yang lebih kecil, baru merdeka, muncul selepas Perang Dunia kedua, amat terdedah.
"Pada waktu itu, langkah lima negara Asia Tenggara, iaitu Malaysia, Indonesia, Filipina, Singapura, dan Thailand berkumpul di Bangkok untuk berikrar mengharungi cabaran dunia ini bersama-sama.
"Maka, lahirlah ASEAN, daripada dunia yang rapuh dan selepas perang. Langkah ini ialah satu eksperimen dalam usaha membina keamanan dan kerjasama serantau berskala kecil," katanya.
Hari ASEAN disambut setiap tahun pada 8 Ogos untuk memperingati penubuhan ASEAN pada 1967 apabila Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura dan Thailand menandatangani Deklarasi ASEAN (Deklarasi Bangkok).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial