KUALA LUMPUR, 6 Ogos (Bernama) -- Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul menjelaskan bahawa enam Ahli Parlimen yang juga bekas ahli Bersatu masih ditakrifkan sebagai wakil rakyat daripada blok pembangkang.
Johari berkata ini kerana tiada pengesahan rasmi mengenai perubahan kedudukan mereka walaupun keenam-enam Ahli Parlimen itu telah menyatakan sokongan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Saya mengikut apa yang telah dimuktamadkan dan apa yang diberi panduan oleh Perlembagaan (Persekutuan) dan juga Peraturan Mesyuarat … setakat yang saya maklum, enam (Ahli Parlimen) ini masih lagi pembangkang.
“Tidak ada satu ayat pun yang ditulis kepada saya mereka ingin meninggalkan pembangkang untuk sertai kerajaan, jadi untuk itu bagi saya mereka masih lagi blok (pembangkang) dan sebab itu saya tak pindah pun (kedudukan) mereka, bagi saya mereka masih lagi ditakrifkan sebagai orang yang berhak bertanya dalam blok (pembangkang).
“Selagi dia (enam Ahli Parlimen) tidak ada hitam putih mengatakan saya sekarang keluar (pembangkang) dan saya nak sertai (kerajaan), jadi untuk itu saya juga berlaku adil kepada mereka sebab mereka juga mempunyai hak sebagai Ahli Parlimen untuk bertanya soalan,” katanya selepas sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Johari berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan dibangkitkan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) yang mempersoalkan pengagihan soalan lisan harian dan sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) yang didakwanya tidak seimbang dan cenderung kepada pihak kerajaan.
Takiyuddin berkata daripada 10 soalan yang dijawab oleh kerajaan pada hari ini, enam ditanya oleh Ahli Parlimen kerajaan, tiga ditanya oleh Ahli Parlimen pembangkang, manakala satu lagi diberikan kepada Ahli Parlimen Bukit Gantang yang menyokong kerajaan.
“Malah, semalam sepatutnya PMQT ataupun MQT kita ada tiga soalan (tetapi) semalam soalan yang naik satu kerajaan, satu juga daripada (Ahli Parlimen) Kuala Kangsar dan pembangkang tak ada soalan,” katanya.
Mengulas lanjut, Johari berkata beliau perlu berlaku adil dalam memastikan setiap Ahli Parlimen mendapat peluang untuk bertanya soalan kepada pihak kerajaan pada sesi soal jawab mahupun MQT.
Enam Ahli Parlimen itu ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).
Pada 12 Jun 2024, Ahli Parlimen berkenaan diberikan notis gugur keahlian apabila mereka gagal menjawab surat arahan bertulis Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu untuk menzahirkan ikrar taat setia kepada parti.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial