EKONOMI

Tiada Rancangan Segera Untuk IPO TNG Digital - CIMB

05/08/2025 07:56 PM

KUALA LUMPUR, 5 Ogos (Bernama) -- CIMB Group Holdings Bhd tidak mempunyai rancangan segera dalam mengusahakan tawaran awam permulaan (IPO) untuk TNG Digital Sdn Bhd.

Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Bank Bhd dan CIMB Malaysia Gurdip Singh Sidhu berkata syarikat itu masih menunjukkan prestasi yang baik dan mula menjana keuntungan pada awal tahun ini serta layak sebagai syarikat berstatus unicorn.

“Soal penyenaraian IPO adalah sesuatu yang akan sentiasa kami nilai, namun ia bukanlah sesuatu yang kami mahu laksanakan secara tergesa-gesa.

“Buat masa ini, perniagaan sedang berkembang dengan baik dan kukuh. Kami telah mula mencatatkan keuntungan selepas beberapa tahun dalam tempoh inkubasi, tetapi kami masih belum tergesa-gesa untuk melaksanakan IPO,” katanya kepada pemberita selepas sesi panel media yang diadakan sempena MyFintech Week 2025 hari ini.

Touch 'n Go Sdn Bhd, unit CIMB Group memiliki 45.01 peratus kepentingan dalam firma fintech itu.

Pada September 2024, TNG Digital mengumumkan rancangan untuk melaksanakan IPO dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang, dengan sasaran meraih lebih US$300 juta.

Terdahulu, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dalam ucapan khasnya sempena MyFintech Week 2025 berkata kerajaan menyasarkan untuk mengenal pasti lima syarikat unicorn menjelang 2030.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan