AM

Politeknik Fokus Bidang AI Bakal Dibina Di Lumut

03/08/2025 04:07 PM

MELAKA, 3 Ogos (Bernama) -- Sebuah politeknik baharu yang memberi tumpuan sepenuhnya kepada bidang kecerdasan buatan (AI) akan dibina di Lumut, Perak sebagai usaha memperkasa sistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara sejajar dengan perkembangan Revolusi Industri 4.0.

Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti Datuk Dr Mohd Zahari Ismail berkata penubuhan politeknik itu di bawah Rancangan Malaysia (ke-13 (RMK13) telah mendapat kelulusan dan kerja pembinaannya akan dimulakan tahun depan.

"Sebaik sahaja politeknik dan program berkaitan diluluskan, pelan pembangunan, reka bentuk kurikulum serta pengambilan tenaga pengajar akan disusun segera, dan kita menjangkakan politeknik ini dapat mula beroperasi dalam tempoh satu hingga dua tahun.

"Penubuhan institusi ini turut menyokong kebolehpasaran graduan dalam bidang berasaskan teknologi, memandangkan permintaan terhadap kepakaran AI semakin meningkat," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menyempurnakan Majlis Konvokesyen Kolej Komuniti Negeri Melaka 2025 yang berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh dan turut dihadiri Pengarah Kolej Komuniti Kota Melaka Noorazizah Abu.

Mohd Zahari berkata politeknik berkenaan akan menawarkan program pengajian peringkat sijil dan diploma dalam bidang AI secara khusus sebagai antara langkah strategik negara menangani keperluan tenaga mahir dalam sektor digital dan teknologi pintar.

Beliau berkata pada masa ini, lebih 10 program berkaitan teknologi maklumat dan sains komputer di politeknik dan kolej komuniti seluruh negara telah diperkenalkan dengan elemen AI termasuk kursus Pengenalan kepada AI, Pembelajaran Mesin dan Analisis Data.

"Inisiatif ini katanya akan terus diperkasa sebagai kursus rentas bidang dan semua pelajar diwajibkan mengikuti program AI tanpa mengira bidang utama pengajian.

"Ini pentingnya integrasi AI dalam bidang seperti Internet Benda (IoT), automasi dan analisis data besar yang kini menjadi agenda utama negara dalam mengoptimumkan penggunaan data secara kolektif," katanya.

Beliau berkata lebih 95 peratus graduan TVET daripada institusi tersebut kini berjaya menyambung pengajian atau mendapat pekerjaan di pelbagai sektor industri dan agensi, menunjukkan keberkesanan pendekatan pembelajaran berasaskan kemahiran.

Sebanyak 569 graduan Kolej Komuniti dari seluruh Melaka diraikan dalam majlis itu yang merupakan sebahagian daripada lebih 32,000 graduan sistem politeknik dan kolej komuniti di seluruh negara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan